News & Articles 'Wajibkan pemaju sedia prasarana elak bencana banjir'

'Wajibkan pemaju sedia prasarana elak bencana banjir'


20 Jan 2022
'Wajibkan pemaju sedia prasarana elak bencana banjir'
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewajibkan pemaju hartanah menyediakan prasarana komprehensif seperti tebatan banjir dalam projek akan datang bagi mengelak kerugian besar dalam kalangan pemilik rumah.

Presiden Persatuan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof Dr Ismail Omar, berkata buat masa ini tiada sebarang syarat yang mewajibkan pemaju hartanah menyediakan prasarana sedemikian atau melaksanakan kajian penilaian impak sosial.

"Prasarana seperti tebatan banjir dan kajian penilaian impak sosial perlu diwajibkan kepada setiap projek pembinaan.

"Ia penting terutama kepada projek berskala besar seperti bandar baharu. Prasarana ini bergantung kepada lokasi pelan fizikal atau pembangunan yang ingin dilaksanakan.

"Jika perlu prasarana besar, maka sediakan yang besar. Namun jika cukup sekadar sistem perparitan dan saliran, maka perlu dilaksanakan sedemikian.

"Paling penting, kajian penilaian impak sosial perlu dilaksanakan sebelum sebarang kelulusan diberikan kepada pemaju hartanah," katanya kepada BH.

Ismail yang juga pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, berkata undang-undang sedia ada berkaitan perumahan juga perlu dipinda kerana lebih cenderung kepada pemaju hartanah dan kurang memberi keadilan kepada pembeli.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, berkata buat masa sekarang pembeli rumah perlu lebih berhati-hati dan mempertimbangkan segala kemungkinan seperti banjir atau tanah runtuh sebelum membeli rumah.

Beliau berkata, banjir yang berlaku di Selangor baru-baru ini membuka mata orang ramai mengenai kepentingan menilai hartanah sebelum membuat pembelian.

Katanya, pembeli diingatkan untuk membaca dan memahami setiap terma dalam perjanjian jual beli yang akan ditandatangani kerana ada terma yang melindungi hak kedua-dua belah pihak iaitu pemaju dan pembeli.

"Ini yang akan menjadi asas sesuatu tindakan undang-undang pada masa hadapan. Dalam perjanjian jual beli juga akan termaktub mengenai sistem perparitan, kolam takungan air dan sebagainya.

"Fahami terma dan perjanjian itu kerana ia akan memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai projek pembangunan," katanya.

Amir Khusyairi berkata, pembeli juga mempunyai hak jika berlaku kejadian tidak diingini seperti banjir untuk membuat tuntutan insurans (sekiranya polisi insuran rumah mempunyai perlindungan banjir) serta tuntutan sivil.

Beliau berkata, tuntutan sivil boleh dilaksanakan kepada pemaju, jika ada bukti terdapat kecuaian pemaju dalam membangunkan projek yang tidak mengikut spesifikasi saliran ditetapkan.

Malah, katanya tuntutan sivil boleh dikemukakan kepada kerajaan yang bertanggungjawab jika terdapat bukti kecuaian dalam menentukan polisi saliran air dan kawalan banjir.

"Namun, tuntutan sivil terhadap pemaju dan kerajaan mungkin sukar dibuktikan kerana banjir di luar jangkaan munasabah.

"Sebagai contoh, banjir yang melanda Selangor baru-baru ini kerana taburan hujan mencecah 380 milimeter iaitu dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini," katanya.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin pula berkata, perkara asas yang sering menjadi persoalan adalah kelemahan sistem penguatkuasaan pihak berwajib, terutama di kawasan perumahan.

Beliau berkata, penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan sistem perparitan dan saliran tidak tersumbat serta impak pembangunan sekeliling kepada kawasan perumahan sedia ada.

"Syarat pematuhan tidak boleh dikompromi dan segala bentuk rasuah mesti dihapuskan kerana masalah seumpama ini boleh meragut nyawa. Yang menjadi mangsa adalah rakyat.

"Setiap projek pembangunan perumahan mesti diwajibkan untuk sedia sistem perparitan dan saliran yang mengambil kira sebarang situasi.

"Banyak pemaju hartanah mengambil sikap tidak peduli dan penguatkuasaan untuk pematuhan syarat juga agak longgar," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • 大马绿色建筑供应不足成挑战

  • Glomac’s 3Q net profit surges on higher property development revenue

  • Pameran hartanah MAPEX Selangor kembali bulan depan

  • Rehda Selangor to showcase properties at expo

  • 117烂尾项目69%是可负担屋