News & Articles Projek Idaman BSP hampir habis ditempah

Projek Idaman BSP hampir habis ditempah


20 Jan 2022
Projek Idaman BSP hampir habis ditempah
KUALA LUMPUR: MGB Bhd, anak syarikat LBS Bina Group Bhd menerima tempahan yang memberangsangkan untuk Rumah Selangorku Idaman BSP (Idaman BSP), sebahagian daripada Rumah Selangorku Idaman MBI.

Susulan pelancaran Idaman BSP, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu menerima tempahan menghampiri 100 peratus membabitkan sejumlah 1,312 unit.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San, berkata Idaman BSP adalah pelancaran pertama syarikat itu daripada sebahagian enam projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang terbabit.

"Kami berazam untuk menyelesaikan isu rumah mampu milik, di samping menyumbang kepakaran IBS bagi memastikan rakyat Selangor berpeluang untuk memiliki sebuah kediaman.

"Kami sedang merancang untuk melancarkan baki lima lagi projek di bawah Rumah Selangorku Idaman MBI menjelang akhir 2022 atau awal 2023.

"Pembabitan MGB dengan menjadi sebahagian daripada projek Rumah Selangorku Idaman MBI ini dijangka menyumbang pendapatan yang stabil kepada syarikat, sekali gus merealisasikan harapan kami untuk meningkatkan lagi nilai pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan.

Idaman MBI, terletak di Bandar Saujana Putra, perbandaran yang sedang berkembang pesat dilengkapi dengan akses mudah ke bandar seperti Cyberjaya, Kota Kemuning dan Puchong serta lebuh raya utama.

MGB menyasar untuk menyiapkan pembangunan Idaman BSP menjelang 2023.

Projek Rumah Selangorku Idaman MBI adalah inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Selangor bagi menyediakan 30,000 rumah mampu milik kepada warga yang layak.

Di bawah inisiatif ini, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan berpendapatan isi rumah antara RM3,001 hingga RM10,000 sebulan serta pembeli rumah kali pertama di Selangor boleh memohon.

Projek terdiri daripada rumah kediaman bertingkat tinggi bermula daripada RM250,000, dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, manakala saiz binaan minimum 1,000 kaki persegi bagi setiap unit.

Unit ini juga dilengkapi dengan dua parkir, tiga penghawa dingin, sebuah set televisyen, kabinet dapur, tiga almari pakaian, peti sejuk dan dua pemanas air.

MGB menjalin usaha sama dengan PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) pada pertengahan 2019 untuk membentuk Konsortium PCSB-MGB dengan matlamat untuk membina sejumlah 7,210 rumah mampu milik Rumah Selangorku Idaman MBI di lokasi infrastruktur yang strategik.

Rumah mampu milik ini akan dibina dengan menggunakan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) milik MGB.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • New office tower for Sepang Municipal Council

  • UNIVERSAL SERVICED OFFICES BERKEMBANG DENGAN FASILITI KETIGA DI LABUAN

  • 东铁计划助力大马各行各业

  • PROJEK RUMAH SASAR SUNGAI BESI SIAP LEBIH 65 PERATUS - MOHAMED KHALED

  • ParkCity Group debuts Kuching's first strata-titled landed homes, priced above RM3.1mil