News & Articles Pinjaman rumah diluluskan meningkat kepada RM93.9 bilion

Pinjaman rumah diluluskan meningkat kepada RM93.9 bilion


3 Aug 2022
Pinjaman rumah diluluskan meningkat kepada RM93.9 bilion
KUALA LUMPUR: Jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah dalam enam bulan pertama tahun ini mencecah RM93.9 bilion, meningkat 18.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus memberi petunjuk tinjauan jualan yang lebih baik untuk pemaju hartanah.

Ini selepas jumlah pinjaman gadai janji yang diluluskan pada Jun 2022 mencecah RM18.97 bilion, meningkat 45.3 peratus berbanding bulan sama tahun lalu dan 20.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low, berkata peratusan pinjaman yang diluluskan berbanding permohonan meningkat sedikit kepada 40.8 peratus pada Jun berbanding 38 peratus bulan sebelumnya, membayangkan bahawa keperluan bank bagi permohonan pinjaman hartanah masih lagi ketat.

Beliau berkata, menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah mencecah RM46.5 bilion pada Jun 2022, meningkat 35.4 peratus berbanding bulan sama tahun lalu dan 15.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Katanya, permohonan pinjaman hartanah kembali positif pada Jun lalu selepas mencatatkan penurunan dua bulan berturut-turut pada April dan Mei.

"Perlu dinyatakan bahawa jumlah nilai permohonan pinjaman keseluruhan pada Jun 2022 adalah tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, kami rasakan berikutan sentimen pembelian lebih baik dan permintaan terpendam selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi.

"Selain itu, kami merasakan bahawa kecairan lebih tinggi daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada April lalu mungkin membantu menyokong minat pembelian terhadap hartanah.

"Secara keseluruhan, jumlah pinjaman yang dimohon bagi pembelian hartanah adalah lebih tinggi pada RM238.3 bilion, meningkat 5.8 peratus berbanding tahun lalu," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Low bagaimanapun berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 2.25 peratus pada 6 Julai lalu adalah sedikit negatif kepada pasaran hartanah kerana akan meningkatkan ansuran bulanan dan mengurangkan kemampuan pembeli rumah.

"Kami menganggarkan ansuran pinjaman rumah berharga RM500,000 akan meningkat tiga peratus bagi setiap 25 mata asas kenaikan OPR. Bagaimanapun, ia sebahagiannya akan diimbangi oleh insentif kerajaan untuk menyokong minat pembelian.

"Kerajaan baru-baru ini mengumumkan program i-Miliki yang menawarkan pengecualian duti setem 100 peratus kepada pemilik rumah kali pertama yang membeli hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah.

"Secara keseluruhan, kami melihat normalisasi kadar faedah dengan jangkaan kenaikan OPR selanjutnya akan memberikan sedikit kesan kepada permintaan hartanah menuju ke hadapan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • ASTAKA obtains lower threshold

  • Iconic Harmony rumah mampu milik bermula RM280,000

  • SP Setia expects LakePoint Complex to attract monthly foot traffic of up to 12,000

  • Scientex sasar sedia 50,000 rumah harga patut pada 2028

  • 金群利芙蓉达城别墅 舒适时尚