News & Articles Stadium Shah Alam baharu dijangka mula dibina bulan depan

Stadium Shah Alam baharu dijangka mula dibina bulan depan


31 Jan 2023
Stadium Shah Alam baharu dijangka mula dibina bulan depan
KUALA LUMPUR: Kompleks Sukan Shah Alam baharu yang dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dijangka mula dibina antara Februari hingga April ini, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim, berkata dapatan daripada semakan lapangan iaitu di pameran awam Kompleks Sukan Shah Alam, menunjukkan bahawa cadangan pembangunan projek berkenaan sedang berjalan lancar.

Katanya, Kerajaan Selangor dan MRCB sedang mengumpul maklum balas melalui pameran awam ini sebelum memuktamadkan reka bentuk stadium berkenaan.

"Sementara itu, kerajaan negeri sedang mendapatkan permit pembangunan daripada pihak berkuasa dan pembinaan mungkin bermula antara Februari dan April ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Stadium Shah Alam baharu dijangka siap pada 2026.

Mengulas lanjut, Adam berkata, cadangan dari segi kapasiti Stadium Shah Alam yang baharu itu adalah antara 35,000 hingga 45,000 penonton, lebih rendah berbanding kira-kira 80,000 penonton sebelum ini.

"Meskipun kapasiti lebih rendah, kami berpendapat hal ini akan membawa kepada penggunaan lebih baik kerana pelan pembangunan semula membabitkan bahagian perumahan, rekreasi dan komersial, iaitu pusat beli-belah bertemakan sukan dan hotel serta hab transit yang bersambung dengan stesen Aliran Transit Ringan 3 (LRT3).

"(Cadangan) stadium baharu ini menampilkan lapisan seramik etilena tetrafluoroetilena (ETFE) sebagai bumbungnya dan peredaran udara sejuk di bawah tempat duduk yang memberikan kestabilan haba.

"Terdapat juga padang bola sepak boleh alih atau 'retractable' bagi memudahkan transformasi daripada arena sukan kepada mod serbaguna untuk acara-acara lain," katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga berpeluang melihat lakaran sistem simpanan air bawah tanah (UWSS) daripada susun atur yang dicadangkan.

"Hal ini adalah satu unsur yang penting kerana Seksyen 13 Shah Alam (lokasi stadium Shah Alam) ialah kawasan yang mudah dibanjiri air.

"Ciri UWSS ini pernah diusulkan pada 2015 ketika bekas Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin yang mana menyatakan hasrat untuk menggunakan sebahagian kawasan perkarangan stadium Shah Alam untuk menghalang banjir daripada berlaku.

"Pada April 2022, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan RM150 juta untuk menaik taraf sistem perparitan dan kolam takungan banjir di bandar tersebut dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Adam berkata, kos projek berkenaan yang dianggarkan bernilai RM787 juta adalah kira-kira 10 peratus daripada buku pesanan belum dibil MRCB, tidak termasuk kerja Bukit Jalil Sentral dalam jangka panjang.

"Tiada perubahan dibuat pada ramalan perolehan sementara menunggu butiran lanjut mengenai tanah yang akan ditukar ganti untuk kerja-kerja MRCB di kompleks itu dan nilai kerja untuk membangunkan kompleks terbabit semula setelah MRCB dan Kerajaan Selangor memuktamadkan butiran projekselepas pameran awam," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • PROJEK RUMAH SASAR SUNGAI BESI SIAP LEBIH 65 PERATUS - MOHAMED KHALED

  • ParkCity Group debuts Kuching's first strata-titled landed homes, priced above RM3.1mil

  • 基建项目启动 建筑业热火朝天

  • KTI Landmark inks underwriting deal with M&A Securities en route to ACE Market listing

  • Harga tanah dijangka naik mendadak akibat pembelian berterusan pemaju - RHB Investment