2019-04-15

Bajet 2019, perumahan untuk semua!

Bajet 2019, perumahan untuk semua!



Baru-baru ini Bajet 2019 telah diumumkan dengan matlamat kerajaan bagi meningkatkan pemilikan rumah sendiri bagi golongan B40 dan juga M40.

Dengan ‘tagline’ perumahan untuk semua, kerajaan telah menjalankan beberapa langkah bagi membantu pemilikan rumah ini. Saya akan kongsi beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan yang mampu memberi impak pada pemilikan rumah pertama di kalangan rakyat Malaysia.

1. Dana RM 1 Bilion ditubuhkan oleh Bank Negara bagi pembelian rumah mampu milik.

Bagi membantu golongan yang berpendapatan tidak lebih dari RM 2300 sebulan, sebanyak dana RM 1 Bilion telah ditubuhkan oleh bank negara bagi pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM 150,000.

Mulai 1 Januari 2019, dana ini akan tersedia daripada panel bank seperti berikut:
AmBank
CIMB Bank
Maybank
RHB Bank
BSN

Panel bank ini akan menawarkan kadar faedah serendah 3.5 %. Tujuan kadar faedah ini dikenalkan adalah bagi mengurangkan bebanan ansuran bulanan dan lebih mudah bagi mendapatkan kelulusan pembiayaan dan pinjaman. Dana ini akan digunakan sepenuhnya sehingga peruntukan ini habis.

2. Peruntukan sebanyak RM 25 juta kepada Cagamas Berhad.

Bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi RM 5000, kerajaan menyediakan peruntukan kepada Cagamas Berhad bagi menyediakan jaminan pajak gadai agar pembeli mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit rumah yang sukar disediakan dan sering menjadi isu utama kesukaran membeli rumah.

Dengan langkah ini, kerajaan menjangka pihak pembeli rumah akan mendapat penjimatan sebanyak 7% sehingga 11% tidak termasuk diskaun atau rebat yang ditawarkan oleh pihak pemaju.

3. Tempoh pembiayaan ‘loan’ rumah kerajaan dilanjutkan.
Bagi penjawat awam, ini merupakan berita baik bagi korang semua, tempoh pembiayaan bagi perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dilanjutkan.

Bagi pembiayaan pertama, tempoh pembiayaan pertama dilanjutkan dari 30 tahun kepada 35 tahun manakala bagi pembiayaan kedua, tempoh pembiayaan dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun.

4. Pengecualian SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan.

Dengan langkah besar memberikan pengecualian ke atas prkhidmatan pembinaan dan bahan binaan, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) akan mengurangkan harga rumah yang tidak tertakluk kepada kawalan harga sebanyak 10%.

5. Pengecualian duti setem

Bagi pembeli rumah pertama berharga sehingga RM 500 000, duti setem dikecualikan sehingga RM 300 00 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian. Pengecualian ini berkuatkuasa untuk tempoh 2 tahun sehingga Disember 2020.



Source: kakiproperty.com

Prev. Article Next Article