2021-01-12

Tempoh PKP 14 hari tidak mencukupi - Pakar

Tempoh PKP 14 hari tidak mencukupi - Pakar



KUALA LUMPUR: Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri, dilihat tidak mencukupi untuk mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 yang kini mencecah hampir 3,000 kes setiap hari.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata ia berikutan jumlah kes sporadik atau jangkitan dalam komuniti adalah lebih banyak berbanding PKP pertama pada Mac tahun lalu.

Beliau berpandangan, tempoh PKP yang berkesan untuk mengurangkan kes ke tahap selamat ialah enam hingga 12 minggu.

"Pelaksanaan PKP memang perlu, cuma dua minggu tidak mencukupi kerana tempoh inkubasi virus ini ialah antara 10 hingga 14 hari.

"Ia bermakna kes diumumkan hari ini mungkin mula dijangkiti 14 hari lalu.

"Jika kita mahu PKP berkesan menurunkan kes secara berterusan, ia perlu dilaksanakan sekurang-kurang enam hingga 12 minggu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Awang Bulgiba berkata, dua minggu juga tidak mencukupi kerana penularan wabak terbabit dalam kalangan pekerja warga asing ketika ini adalah jauh berbeza berbanding Mac tahun lalu.

Malah, beliau berkata, kadar positif individu yang menjalani ujian saringan COVID-19 di Malaysia sudah mencecah lapan peratus, melebihi kadar lima peratus disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Ketika PKP pertama, kadarnya adalah satu hingga dua peratus saja, bermakna hanya satu atau dua individu positif daripada 100 yang disaring, berbanding lapan orang sekarang.

"Ini membayangkan penularan virus dalam masyarakat jauh lebih tinggi daripada yang dikesan.

"Bilangan individu positif sekarang dihadkan jumlah ujian, bermakna lebih banyak ujian dijalankan, lebih tinggi jumlah kes positif dikesan," katanya.

Beliau bagaimanapun memuji tindakan kerajaan tidak melaksanakan PKP secara 'pukul rata' di seluruh negara, dengan memisahkannya secara tiga peringkat menerusi PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB), sekali gus dapat mengimbangi impak ekonomi serta sosial di negeri yang tidak merekodkan bilangan kes tinggi.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article