2021-01-13

Rakyat harap pemimpin kembali bersatu

Rakyat harap pemimpin kembali bersatu



GEORGETOWN: Tempak darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diharapkan mampu menjadikan kerajaan lebih stabil sekali gus memberikan fokus kepada usaha memerangi Covid-19.

Tinjauan dalam kalangan rakyat di negeri ini mendapati mereka bersetuju dengan proklamasi darurat berkenaan walaupun pelbagai impak dari segi ekonomi terpaksa dihadapi.

Seorang pengusaha kafe, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, 37, berkata, proklamasi darurat diharapkan dapat membuatkan barisan Kabinet bergerak seiring bersama-sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memerangi Covid-19.

“Seminggu dua ini rakyat disajikan dengan kisah-kisah politik melebihi daripada usaha bagaimana untuk mengatasi penularan Covid-19.

“Proklamasi darurat ini adalah jalan terbaik bagi memastikan usaha memerangi pandemik Covid-19 berjalan lancar tanpa diganggu dengan isu politik,” katanya di sini semalam.

Mohamed Rizwan berkata, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dalam tempoh memerangi pandemik bagi membolehkan usaha diambil mendapat sokongan semua wakil rakyat.

“Dengan pengisytiharan darurat ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada penyatuan pemimpin politik demi rakyat, walaupun hanya sementara, namun berkorbanlah untuk rakyat,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Rabtahati Ramli, 46, berkata, proklamasi darurat itu sekurang-kurangnya dapat membuatkan negara kembali aman daripada sebarang pergolakan politik.

“Sekarang perhatian kerajaan dapat difokuskan untuk memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal dan menumpukan usaha kepada pemulihan ekonomi,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Anuar Abd. Hamid, 50, pula berkata, tempoh ketika ini amat sukar untuk semua pihak terutama golongan B40 kerana terjejas dari segi ekonomi ekoran Covid-19.

“Kami berharap dengan proklamasi darurat ini politik negara dalam keadaan yang stabil dan pemimpin kerajaan dapat mencari jalan membantu ekonomi rakyat,” katanya. – UTUSAN



Source: Utusan.com.my

Prev. Article Next Article