2021-02-19

Projek baharu PPR dijenamakan semula sebagai Rumah Malaysia

Projek baharu PPR dijenamakan semula sebagai Rumah Malaysia



JOHOR BAHRU – Kerajaan bakal menambah baik pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan menjenamakan semula inisiatif berkenaan sebagai Rumah Malaysia bagi projek baharu yang dibangunkan tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, polisi itu akan menyaksikan beberapa aspek ditambah baik bagi meningkatkan taraf hidup penghuninya yang terdiri daripada golongan B40.

Menurut beliau, dalam tahun ini, sebanyak 11 program Rumah Malaysia akan dibangunkan di seluruh negara membabitkan 4,130 unit kediaman, tiga daripada projek berkenaan terletak di Johor.

“Antara penambahbaikan itu adalah keluasan lantai Rumah Malaysia tidak boleh kurang daripada 900 kaki persegi, perlu dilengkapi fasiliti yang lengkap serta kadar sewa yang diselaras.

“Langkah ini dibuat kerana kita faham sudah tiba masanya rakyat Malaysia dapat rumah lebih besar bagi meningkatkan keselesaan dan mutu hidup mereka.

“Peningkatan mutu hidup ini sekaligus akan dapat melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi,” katanya semasa hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Perdana Fasa 1 dan PPR Taman Perling, di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Ismail Abd. Mutalib.

Tambah Zuraida, projek Rumah Malaysia juga perlu dilengkapkan dengan pelbagai fasiliti seperti rumah ibadat, taman awam, dewan orang ramai dan lain-lain bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan kondusif selain turut memastikan kewujudan jawatankuasa penduduk yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan.

“Bagi mengelakkan rumah ini tidak berpenghuni, KPKT menetapkan syarat ia perlu didiami dalam tempoh tiga bulan oleh pemohon yang layak.

“Sementara itu, mereka diberikan tempoh sewa selama dua tahun untuk menguruskan pinjaman bank dan sebagainya bagi membeli kediaman berkenaan,” ujarnya.

Zuraida turut memberitahu, jika dalam tempoh itu mereka masih gagal mendapatkan pinjaman bank, kerajaan negeri harus mengambil keputusan sama ada memberi tempoh lanjutan sewaan atau mencari pemohon baharu.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan kunci sebanyak 160 unit rumah dan lapan unit kedai di Taman Seri Molek Perdana serta 525 unit PPR Taman Perling kepada penerima yang layak.-K! ONLINE



Source: kosmo.com.my

Prev. Article Next Article