2021-02-22

Mah Sing bangunkan projek M Senyum di Sepang

Mah Sing bangunkan projek M Senyum di Sepang



KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd merancang untuk membangunkan projek kediaman baharu di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM656 juta.

Mah Sing dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan perancangan awal, pembangunan seluas 40.47 hektar yang akan dinamakan sebagai M Senyum itu dijangka menjadi projek kediaman yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat dengan harga bermula dari RM399,000 seunit.

Katanya, ia adalah selari dengan strategi semasa kumpulan untuk menumpukan kepada perumahan bertanah mampu milik di kawasan pinggiran bandar dan kediaman bertingkat di kawasan daerah perniagaan sentral (CBD).

"M Senyum dijangka dapat dibangunkan dalam tempoh lima tahun, dengan pendaftaran kepentingan dan pelancaran disasarkan pada separuh kedua 2021," katanya.

Pembangunan yang dicadangkan itu dilaksanakan setelah anak syarikat milik penuh Mah Sing, Oasis Garden Development Sdn Bhd menerima surat kelulusan balas daripada Pejabat Daerah Sepang bagi pengambilan tanah bernilai RM95.83 juta.

"Projek hartanah ini mampu memberi kesan baik kepada strategi pemulihan pantas kumpulan, yang akan membolehkan Mah Sing memenuhi permintaan pasaran semasa daripada pembeli rumah pertama yang tulen dan naik taraf dari perbandaran berdekatan yang sudah matang.

"Kumpulan mengunjurkan prospek yang tinggi terhadap projek ini memandangkan ia mempunyai kesalinghubungan yang baik,

kawasan tadahan dan kemudahan siap sedia di sekitarnya.

"Pembangunan M Senyum juga dijangka meningkatkan lebih banyak kediaman dinaiktaraf kerana pembangunannya berdekatan dengan perbandaran yang terkenal seperti Kota Warisan, Bandar Baru Nilai, Dengkil, Putrajaya dan Cyberjaya," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article