2021-04-06

Harga penempatan saham AMMB RM2.75 sen seunit

Harga penempatan saham AMMB RM2.75 sen seunit



KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd menetapkan harga terbitan bagi 300 juta saham yang ditawarkan menerusi penempatan persendirian pada RM2.75 seunit.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, bank itu berkata harga terbitan berkenaan mewakili diskaun sebanyak 7.44 peratus ke atas harga purata wajaran jumlah saham AMMB selama lima hari sehingga dan termasuk 2 April 2021 yang juga hari dagangan sebelum penetapan harga pada RM2.9711 sesaham.

"Syarikat juga gembira untuk mengumumkan bahawa cadangan penempatan saham persendirian itu terlebih langganan dan mendapat minat daripada sekumpulan pelbagai pelabur yang kukuh.

"Ini jelas menggambarkan keyakinan kalangan komuniti pelabur terhadap daya tahan AMMB untuk memberi pertumbuhan pendapatan yang stabil bagi semua pihak berkepentingan," katanya.

AMMB bertindak mengumumkan cadangan tawaran penempatan saham persendirian itu pada minggu lalu yang disifatkan RAM Ratings tidak akan menjejaskan penarafan terhadap kumpulan berkenaan dalam masa terdekat ini.

"Walaupun kreditnya positif, cadangan itu masih tidak mencukupi untuk memulihkan penampan bagi menyerap kerugian kumpulan ke tahap penyelesaian sebelum berlakunya 1Malaysia Development Bhd (1MDB)," demikian menurut agensi penarafan kredit itu pada Jumaat lalu.

Cadangan melaksanakan tawaran saham persendirian sehingga 300 juta saham baharu itu mewakili 9.97 peratus daripada modal saham semasa AMMB.

Pada awal Mac lepas, RAM Ratings bertindak menyemak turun penarafan AMMB kepada AA3/Stabil/P1 daripada AA2/Stabil/P1 bagi memaparkan impak kewangan buruk daripada penyelesaian global RM2.83 bilion dengan pihak kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.

AMMB bercadang melaksanakan tawaran saham persendirian tersebut bagi mengurangkan impak pengurangan modal susulan penyelesaian global terbabit.

Usaha yang dijadualkan selesai menjelang suku kedua tahun ini akan menyaksikan modal baharu menokok kira-kira 70 mata asas kepada nisbah modal Ekuti Biasa Tahap 1 (CET1) kumpulan itu yang dapat dapat meningkatkan metrik kepada kira-kira 12 peratus setakat akhir Disember 2020.

Menurut RAM Ratings, jika berjaya dilaksanakan, cadangan itu dapat memperkukuh penampan untuk menyerap kerugian kumpulan dan membolehkan kumpulan itu bertahan terhadap cabaran kualiti aset serta peningkatan kos kredit yang dialami oleh bank-bank Malaysia secara umumnya.
-BERNAMA



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article