2021-04-22

KeTSA puas hati TNB tingkat kualiti khidmat

KeTSA puas hati TNB tingkat kualiti khidmat



KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berpuas hati dengan usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengukuhkan perbekalan elektrik negara dalam usaha berterusan syarikat utiliti negara itu meningkatkan perkhidmatan dan memperkasa pengguna.

Menteri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kerajaan mahu TNB menjaga dan sama-sama membantu kerajaan menjaga kepentingan rakyat.

"Menjadi hasrat kerajaan untuk rakyat terus mendapat bekalan elektrik dengan harga yang berpatutan dan pada masa yang sama TNB dapat terus berdaya maju bagi meneruskan pelaburan modal dan mendapat pulangan setimpal yang boleh dikongsi dengan rakyat serta para pemegang sahamnya," katanya pada sesi lawatan kerja ke TNB di Kompleks Ibu Pejabat TNB di Bangsar, semalam.

Pengalaman dari pandemik COVID-19 jelas menunjukkan tindakan bersama kerajaan dan TNB membolehkan "kita berkongsi kesusahan rakyat" dengan TNB sendiri membuat pelbagai sumbangan yang dengan nilai yang amat besar.

Shamsul Anuar turut memuji pencapaian TNB meningkatkan kualiti bekalan elektrik, antaranya dengan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) di Semenanjung menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit pada tahun lalu.

Walaupun SAIDI yang menjadi ukuran tempoh gangguan bekalan elektrik ini antara terendah di negara-negara Asia Tenggara dan sebilangan negara membangun, beliau mahu TNB meneruskan usaha menurunkannya lagi.

Sepanjang tiga jam sesi lawatan, Shamsul Anuar diberikan taklimat mengenai pemodenan sistem Rangkaian Pembahagian (Distribution Network) TNB yang mengambil kira keperluan rakyat, rancangan pelaburan modal TNB untuk tempoh 2022 hingga 2024, serta taklimat ringkas mengenai Kampus Ibu Pejabat baru TNB yang sedang dalam pembangunan.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam ucapannya berkata beliau yakin TNB dengan lebih 35,000 warga kerja mampu untuk terus menerangi negara selain melaksanakan program yang dirancang Kerajaan.

Antaranya, mempertingkatkan lagi kualiti bekalan elektrik dan peranan tenaga solar serta meningkatkan peluang pekerjaan melalui program latihan semula dan peningkatan kepakaran (reskilling dan upskilling) bagi memenuhi keperluan bekalan industri tenaga.

Lebih daripada 15,000 orang akan dilatih dalam program tersebut menjelang 2024, katanya.

Turut hadir pada sesi lawatan itu adalah Presiden dan CEO TNB, Datuk Ir Baharin Din, barisan delegasi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta pengurusan tertinggi TNB.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article