2021-06-08

Manfaatkan Kempen Pemilikan Rumah sehingga hujung tahun

Manfaatkan Kempen Pemilikan Rumah sehingga hujung tahun



KUALA LUMPUR: Inisiatif Kempen Pemilikan Rumah yang dilanjutkan sehingga akhir tahun ini meneruskan lagi komitmen kerajaan untuk meringankan beban rakyat memiliki kediaman ketika tempoh mencabar akibat COVID-19.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata insentif itu akan memanfaatkan bakal pembeli rumah menerusi diskaun yang ditawarkan ke atas harga kediaman.

"Lanjutan Kempen Pemilikan Rumah membantu bakal pembeli yang mungkin berdepan kesukaran untuk melunaskan duti setem. Dari sudut pemaju pula, ia menyokong usaha kami mencapai agenda pemilikan rumah," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) minggu lalu menjelaskan bahawa kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah sehingga 31 Disember ini.

Pengecualian duti setem berkenaan sepatutnya berakhir 31 Mei lalu.

Heng Choon berkata, keputusan itu selaras dengan cadangan REHDA kepada kerajaan supaya melanjutkan insentif berkenaan untuk tempoh tujuh bulan lagi bagi menyokong industri hartanah, selain menyumbang kepada pembangunan semula ekonomi negara.

"Sementara menunggu insentif ini diwartakan sebelum dilaksanakan secara rasmi, kami berharap rakyat dapat mengambil kesempatan atas bantuan ini mendapatkan kediaman yang diimpikan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong, berkata insentif ditawarkan dalam Kempen Pemilikan Rumah itu wajar diperluaskan kepada pasaran hartanah sekunder yang turut terjejas akibat pandemik.

Katanya, insentif berkenaan sepatutnya boleh terpakai untuk pembeli rumah pertama yang ingin membeli kediaman di pasaran sekunder, sekali gus memperluaskan hasrat kerajaan mengaktifkan semula pasaran hartanah.

"Pasaran sekunder juga sebahagian daripada industri hartanah dan memberi kesan lebih aktif dan positif kepada ekonomi secara keseluruhan," katanya.

Kim Loong berkata, menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), pasaran sekunder menyumbang 80 peratus daripada transaksi keseluruhan hartanah pada 2019.

"Malah tidak disebut faedah HOC yang dilanjutkan ini diperluaskan untuk pembeli rumah mampu milik," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article