2021-06-10

Jualan hartanah di Lembah Klang merosot

Jualan hartanah di Lembah Klang merosot



KUALA LUMPUR: Kemelesetan ekonomi global termasuk Malaysia pada 2020 mempengaruhi jualan kediaman daripada pembangunan baharu dan 'subsale' di Lembah Klang dengan penurunan masing-masing sebanyak 64.9 peratus dan 41.1 peratus.

Pengarah Urusan MyProperty Data, Joe Hock Thor, berkata penurunan yang ketara dalam transaksi pembangunan hartanah itu disebabkan oleh kelewatan pelancaran projek baharu kerana operasi pembinaan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu.

Beliau berkata, pasaran hartanah di Lembah Klang juga mencatatkan pembelian pembangunan baru terendah sejak lima tahun lalu pada 2020.

Katanya, jumlah transaksi dibuat pembeli rumah kali pertama dan pelabur masing-masing turun 90.6 peratus dan 38 peratus.

Beliau menjelaskan, jumlah transaksi pada 2020 untuk hartanah 'subsale' juga rendah untuk pembeli rumah kali pertama dengan penurunan tahunan sebanyak 79.4 peratus.

"Perubahan tingkah laku pembelian ini lebih ketara bagi hartanah atas tanah. Antara 2016 dan 2019, transaksi hartanah 'subsale' dan pembangunan baharu masing-masing terbahagi sekitar 70 peratus dan 30 peratus.

"Peratusan ini berubah kepada 84 peratus dan 16 peratus pada 2020. Sementara itu, bagi transaksi hartanah bangunan tinggi, pembahagian antara hartanah 'subsale' dan pembangunan baharu tetap konsisten, masing-masing sekitar 80 peratus dan 20 peratus sejak lima tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hock Thor berkata, COVID-19 sememangnya mempengaruhi pasaran harta tanah dan trend pembelian hartanah di Malaysia tahun lalu.

Beliau berkata, bakal pembeli rumah kali pertama yang mempunyai modal tetapi masih ragu-ragu untuk memiliki rumah, mereka memerlukan lebih banyak dorongan dari pemaju dan kerajaan.

Katanya, bagi membantu memacu industri dan meningkatkan pemilikan rumah, insentif lebih hebat perlu ditawarkan kepada pembeli rumah pertama seperti rebat yang lebih menarik dari pemaju atau bantuan dari kerajaan.

"Kami amat gembira dengan keputusan kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan skim pengecualian duti setem kediaman di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga akhir tahun.

"Kami percaya ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban pembeli rumah, tetapi juga dapat membantu menyokong pemulihan sektor hartanah," katanya.

Mengulas lanjut, Hock Thor berkata, COVID-19 juga mewujudkan peluang bagi pelabur untuk memanfaatkan harga hartanah yang lebih rendah selain pelbagai insentif yang tersedia serta kadar faedah yang rendah.

Beliau berkata, disebabkan hartanah sering dianggap sebagai instrumen lindung nilai terhadap inflasi, pelaburan aset ini dapat memberikan keuntungan jangka panjang selaras dengan penstabilan dan pemulihan pasaran.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article