2021-09-14

JAKS, T&T Group bangun projek tenaga di Vietnam

JAKS, T&T Group bangun projek tenaga di Vietnam



KUALA LUMPUR: JAKS Resources Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan T&T Group Joint Stock Company untuk meninjau kemungkinan kerjasama bagi membangunkan projek gas asli cecair (LNG) kepada tenaga Quang Ninh 2 berkapasiti 1,500 megawatt (MW) di Quang Ninh, Vietnam.

Syarikat pembinaan dan pegangan tenaga itu berkata, MoU itu yang ditandatangani pada 11 September 2021, menunjukkan visi bersama kedua-dua pihak untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari Vietnam terhadap elektrik domestik, penjanaan tenaga menggunakan gas dan keperluan pengimportan LNG ke Vietnam.

Di bawah terma, kedua-dua pihak akan saling bersetuju mengenai pendekatan berhubung pelaksanaan projek LNG kepada tenaga, yang termasuk lokasi, reka bentuk, teknologi dan infrastruktur yang terbabit untuk terminal import dan loji tenaga serta pemilihan pembekal penyelesaian LNG dan tenaga menggunakan gas.

"T&T Group akan bertanggungjawab untuk semua perkara yang membabitkan undang-undang berkaitan projek LNG kepada tenaga manakala JAKS akan menjadi pelabur strategik dan bertanggungjawab untuk kejuruteraan, pembinaan dan proses pengoperasian dengan memudahkan reka bentuk, kejuruteraan, pembinaan dan operasi projek," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif JAKS, Andy Ang Lam Poah, berkata kerjasama itu akan mengukuhkan bahagian perniagaan tenaga kumpulan itu di Vietnam.

"Penyertaan pertama kami dalam sektor tenaga adalah melalui pembinaan Loji Tenaga Hai Duong berkapasiti 1,200MW, yang telah memulakan operasi komersial sepenuhnya pada Januari lalu.

"Kami yakin dapat membangunkan projek LNG kepada tenaga dengan keupayaan, kepakaran dan pengalaman kami, bersama dengan sokongan daripada T&T Group, berikutan kami akan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk mewujudkan nilai dan pertumbuhan di Vietnam," katanya.

T&T Group adalah syarikat saham gabungan di Vietnam dengan operasi perniagaan yang pelbagai, termasuk hartanah, pelaburan kewangan, industri pembuatan (motor, kereta, plastik dan mineral), sukan dan aktiviti import-eksport.

Ia juga adalah pelabur dan pemaju projek dalam sektor tenaga di Vietnam. -- Bernama



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article