2021-10-08

Saring ekspatriat sebelum boleh sertai MM2H

Saring ekspatriat sebelum boleh sertai MM2H



Kuala Lumpur: Sejak dilaksanakan 19 tahun lalu, program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan warga asing untuk menetap di negara ini, dan antara tarikan utama ialah kepelbagaian budaya.

Menurut portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) iaitu penyelaras program itu, faktor cuaca, perkhidmatan perubatan dan impak pelaburan turut menjadi pendorong warga asing memilih Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

Namun, laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri Dua yang dibentangkan pada 28 September lalu, mendedahkan beberapa kelemahan program MM2H sejak dimulakan pada 2002, terutama risiko keselamatan negara kerana ketiadaan syarat keperluan Surat Akuan Kelakuan Baik (LOGC) untuk mengesahkan tanggungan yang dibawa peserta MM2H bebas daripada salah laku jenayah.

Selain itu, pengurusan program MM2H juga didapati kurang cekap berikutan ketiadaan pangkalan data secara bersepadu dan kelemahan kawalan dalaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang akan menyukarkan MOTAC dan Jabatan Imigresen memantau secara berkesan dan menilai pencapaian MM2H.

Bagaimanapun, pembukaan semula program MM2H bulan ini selepas dihentikan seketika pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, akan ditambah baik dengan syarat baharu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dipetik berkata langkah itu dibuat berikutan kerajaan memahami kebimbangan rakyat mengenai kemasukan warga asing ke negara ini, selain bagi memastikan hanya peserta yang benar-benar layak dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dibenarkan menyertai program itu.

Langkah itu juga bagi memastikan warga asing yang berhasrat tinggal di Malaysia di bawah program berkenaan adalah mereka yang berkualiti dan boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

MENJADI POLEMIK

Syarat dan ketetapan baharu itu bagaimanapun mencetuskan polemik, terutama dalam kalangan penganalisis dan mereka yang terbabit secara langsung dalam perkhidmatan MM2H.

Malah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut meminta kerajaan mengkaji semula syarat-syarat ketat yang ditetapkan untuk program berkenaan.

Menurut penganalisis pengurusan krisis Nordin Abdullah, syarat-syarat ketat tersebut dibimbangi akan menyebabkan peserta MM2H beralih ke negara lain yang turut bersaing menawarkan program hampir sama.

"Ini adalah perniagaan persaraan. Mereka (ekspatriat) meneliti negara-negara yang lebih lestari untuk mereka diami.

"Dari satu sudut, memang benar mereka tidak melabur berbilion dolar seperti kilang atau rangkaian runcit, tetapi hakikatnya mereka adalah pelabur," katanya dalam program The Brief yang disiarkan Bernama TV baru-baru ini.

Sebagai penambahbaikan, KDN memperkenalkan 10 syarat baharu yang dilihat mampu mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi.

Antaranya, keberadaan atau pemastautinan peserta di negara ini adalah sekurang-kurangnya 90 hari dalam setahun dan pendapatan luar negara peserta MM2H adalah sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.

Selain itu, peserta MM2H perlu mempunyai pemilikan akaun simpanan sekurangnya-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak mereka serta usia pemohon yang layak bagi program itu turut dipecahkan kepada dua kategori iaitu 35 hingga 49 tahun dan 50 tahun ke atas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas TEG Media Andy Davison yang terbabit dalam pengeluaran dan perkhidmatan visa MM2H, berkata pihaknya menerima maklum balas negatif daripada komuniti ekspatriat dan individu yang berminat dengan program tersebut susulan penambahbaikan tersebut.

"Ini akan membawa kesan negatif khususnya dalam kalangan komuniti perniagaan yang mencari peluang pelaburan di negara ini.

"Mereka juga berpendapat Malaysia tidaklah begitu mengalu-alukan kedatangan mereka seperti yang disangkakan. Jadi, mereka mula menimbang semula hasrat untuk melabur di sini," katanya.

RANGSANG EKONOMI

Sejak diperkenalkan, seramai 57,478 warga asing telah diberikan pas jangka panjang untuk menetap di negara ini sebelum program itu dihentikan sementara pada Ogos 2020 akibat pandemik Covid-19.

Rekod menunjukkan MM2H berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion iaitu secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah dan kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata pengaktifan semula program MM2H secara tidak langsung dapat melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang sedikit lumpuh sebelum ini, akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.

Keputusan itu merupakan langkah yang wajar, terutama ketika negara kini sedang beralih ke fasa endemik.

"Strategi kerajaan menerusi program ini adalah antara usaha yang baik untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara, sekali gus merangsang ekonomi terutamanya pertumbuhan sektor pelaburan hartanah di Malaysia.

''Selain itu, saya juga bersetuju dengan cadangan mengenai penglibatan bersepadu Jabatan Imigresen, KDN, MOTAC serta ejen-ejen pelancongan berdaftar yang dilantik, bagi memastikan butiran permohonan dan memantau aktiviti peserta dan tanggungan mereka sepanjang berada di Malaysia,'' katanya kepada Bernama.

JALAN TERBAIK

Mengulas mengenai usaha penambahbaikan syarat-syarat MM2H yang dilakukan KDN, penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat langkah itu merupakan jalan terbaik bagi membendung pelbagai kes jenayah yang dikaitkan dengan warga asing yang menetap di Malaysia.

Beliau berkata program MM2H sebelum ini menunjukkan kelemahan ketara apabila pihak berkaitan gagal membuat tapisan ke atas setiap peserta dan tanggungan mereka.

Situasi itu menyukarkan pihak kerajaan mengenal pasti pemohon dan tanggungan yang bebas daripada salah laku jenayah, sekali gus boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara, jelasnya.

"Asas program itu ialah beri keutamaan kepada warga-warga asing lebih senior (pesara) yang berhasrat untuk duduk dan berehat di negara ini. Selain itu, program ini pada awalnya juga hanya terbuka kepada peserta dari beberapa negara sahaja seperti Jepun.

"Namun, beberapa tahun selepas itu sudah banyak negara diberi peluang untuk menyertai program MM2H, dan mereka (peserta dan tanggungan) yang duduk di sini juga terdiri daripada golongan yang lebih muda (bawah 50-an),'' katanya kepada Bernama.

Beliau berpandangan keadaan itu memberi peluang kepada penyalahgunaan pas selain membuka ruang kepada yang berkenaan untuk melakukan jenayah di negara ini.

Shahul Hamid berkata dengan syarat baharu yang lebih ketat, agensi berkaitan dapat memastikan setiap pemohon atau peserta program adalah mereka yang telah disaring dan benar-benar berhasrat untuk menetap di sini atas tujuan yang dibenarkan.

"Apabila yang menetap di sini itu golongan yang lebih berusia, kita boleh anggap mereka ini berkelakuan baik, tetapi bagaimana yang muda? (Golongan) Ini yang banyak salah guna (tujuan program) sehinggakan terkait dengan kes jenayah.

"Kita tidak mahu mereka ini memohon program MM2H hanya sekadar mendapatkan pas jangka panjang untuk duduk di Malaysia sebab kita pun tidak tahu mereka ini siapa sebenarnya, macam-macam jenayah boleh mereka lakukan termasuklah menjadi scammer… ini antara maklumat yang kita terima, sebab itu perkara ini menjadi kebimbangan kita,'' katanya.

Program MM2H membolehkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia di bawah pas lawatan sosial kemasukan pelbagai dan MOTAC merupakan penyelaras program tersebut sejak 2002.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article