2021-10-12

Krisis hutang Evergrande, China tidak jadi isu meluas

Krisis hutang Evergrande, China tidak jadi isu meluas



KUALA LUMPUR: Walaupun pasaran global gelisah dengan perkembangan terkini mengenai masalah kumpulan konglomerat China, Evergrande Group berikutan krisis hutangnya, pakar percaya situasi itu tidak akan menjadi isu yang meluas.

Ketua Pegawai Pelaburan Principal Global Investors, Todd Jablonski, berkata tanpa ragu insiden itu telah mengejutkan pelabur, bagaimanapun kerajaan akan memainkan peranannya untuk menstabilkan pasaran.

"Tanpa ragu situasi itu mungkin telah mewujudkan kegelisahan berikutan China adalah ekonomi kedua terbesar. Ini menyebabkan pelabur terkejut disebabkan China berada pada tahap pembaharuan pengawal seliaan. Bagaimanapun, kami yakin situasi itu dapat dibendung," katanya dalam temu bual.

Evergrande, antara pemaju hartanah terbesar di China dari segi penjualan, adalah ujian kepada Beijing berikutan penganalisis berhati-hati bahawa ia boleh menyebabkan China kepada situasi Lehman Brothers, syarikat pelaburan yang muflis pada 2008.

Sektor hartanah di China menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Principal Asset Management Singapore, Christopher Leow, berkata walaupun pelabur asing mungkin berhati-hati pada masa ini, terutamanya mereka yang melabur dalam bon yang lebih tinggi, ia tidak akan memberi impak kekal kepada pasaran ekuiti China.

"Ini disebabkan pada 2020, "Three Red Lines Policy" telah diperkenalkan dan dipantau oleh kerajaan. Garis berkenaan adalah hutang berbanding tunai, hutang berbanding aset dan hutang berbanding ekuiti. Oleh itu, kami yakin ia dapat diselesaikan," katanya.

Di sebalik perkembangan itu, Todd berkata, prospek aset global terus berada pada aliran meningkat, didorong oleh pemulihan global daripada impak COVID-19, serta pendedahan kredit.

"Setakat ini, kita telah menyaksikan penguncupan berikutan pandemik. Bagaimanapun, kita boleh melihat daripada trend bahawa kita hampir pulih. China, walaupun menghadapi penguncupan sebelum ini, pasti akan meningkat semula.

"Manakala pasaran sedang pesat membangun akan bergerak sejajar dengan pemulihan China," katanya. -- Bernama



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article