2021-10-14

Pemaju hartanah Taiwan bakal bina resort RM1 bilion di Pulau Mengalum, Sabah

Pemaju hartanah Taiwan bakal bina resort RM1 bilion di Pulau Mengalum, Sabah



KOTA KINABALU: Pemaju hartanah terbesar dari Taiwan, Sinyi Realty Group merancang untuk membuat pelaburan lebih RM1 bilion melibatkan pelancongan di Pulau Mengalum, Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan negeri menyambut baik rancangan syarikat berkenaan untuk membina sebuah resort eko-pelancongan bertaraf lima bintang di pulau berkenaan.

Jelasnya, pelancongan merupakan antara sektor utama yang diberikan tumpuan melalaui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelancongan sangat penting bagi Sabah dan sebab itulah sektor ini dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga teras utama dalam pelan pembangunan SMJ," katanya.

Beliau turut menyatakan rasa gembira kerana mereka memilih Sabah untuk projek pelaburan mereka.

“Sabah adalah salah satu negeri paling cantik di Malaysia dan banyak yang kami tawarkan daripada aspek pelaburan dalam sektor pelancongan," katanya dalam pertemuan bersama kumpulan berkenan di Menara Kinabalu, pada Selasa.

Sejajar dengan SMJ, Hajiji memberi jaminan kepada Kumpulan Sinyi bahawa kerajaan negeri akan memberi bantuan yang diperlukan untuk memudahkan pelaburan mereka di negeri ini.

Terdahulu, sambil merakamkan terima kasih atas sokongan yang diberikan, Ketua Kumpulan Sinyi, Chou Chun Chi berkata pembangunan di Pulau Mengalum itu akan menarik pasaran pelancongan serba mewah.

"Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan diharapkan dapat membawa 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun," katanya.

Mengiringi Chou dalam kunjungan hormat kepada Hajiji ialah Naib Pengerusi Kumpulan Sinyi, Chou Wang Mei Wen; Pengurus Besar; Chow Kok Yein; Pengurus Kanan Tann Chung Yong dan Pengurus Projek, Chou Chun Hao.

Sementera itu, turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah.

Terdahulu, setelah memperoleh lebih daripada separuh pulau dengan harga RM266 juta pada tahun 2019, Kumpulan Sinyi merancang pemulihan bahagian pulau yang tandus dengan penghutanan semula dan juga memulihkan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat penggunaan bom ikan.

Fakta menarik mengenai Pulau Mengalum:

Pulau Mengalum terletak 56 kilomenter dari Kota Kinabalu dan boleh diakses dengan menaiki catamaran dari beberapa jeti di daerah Kota Kinabalu,

Pulau di bahagian pantai Barat Sabah ini sering menarik perhatian pelancong dari China dan Korea.



Source: Astroawani.com

Prev. Article Next Article