2021-11-22

Sedia semula geran Skim MyHome bantu pembeli rumah pertama

Sedia semula geran Skim MyHome bantu pembeli rumah pertama



Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menimbang secara serius mengembalikan Skim MyHome dengan geran bernilai sehingga RM30,000 bagi membantu pembeli rumah pertama di negara ini, seperti pernah dilaksanakan sebelum ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar Mansor, berkata skim berkenaan pernah disediakan kerajaan menerusi bajet negara sebelum dihentikan pada 2017.

"Kami mencadangkan kerajaan menimbang semula secara serius mengembalikan Skim My Home, apabila pembeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000 boleh mendapat sekali seumur hidup geran bernilai sehingga RM30,000.

"Ia benar-benar membantu pembeli rumah pertama. Skim ini memang ada di dalam bajet terdahulu tetapi dikeluarkan sejak 2017.

Kami minta kerajaan kaji secara serius mengembalikan skim subsidi sekali beri ini, yang turut pernah dilaksanakan negara seperti Australia dan Singapura," katanya.

Beliau mengulas isu kesukaran golongan muda kini memiliki kediaman pertama berikutan kekangan kewangan hingga sukar mendapat pembiayaan bank, selain berdepan harga kediaman yang semakin melambung.

Iskandar menyifatkan pembiayaan ditawarkan kebanyakan bank ketika ini tidak memenuhi keperluan pembeli rumah, khususnya mereka yang tiada pendapatan tetap dan bekerja dalam sektor yang dilihat berisiko tinggi.

"Kerajaan sepatutnya meminta bank menyediakan pembiayaan akhir sehingga 90 peratus bagi pembeli rumah pertama dan rumah di bawah harga RM500,000 di bandar utama lain, manakala sehingga RM700,000 di Lembah Klang dengan pembiayaan akhir ini dijamin oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, pengasas Hi MORTGAGE, Radzi Tajuddin, berkata pandemik COVID-19 menyebabkan ramai bakal pembeli rumah, terutama golongan muda mempunyai profil kewangan kurang menarik, sekali gus menyumbang penurunan kadar kelulusan pinjaman bank.

Sehubungan itu, beliau menyarankan, bank perlu mengambil kira faktor luar biasa seperti pandemik dalam menilai permohonan pembiayaan rumah, manakala kerajaan boleh meningkatkan profil kewangan peminjam dengan memberi jaminan kepada bank.

"Pada masa sama, bakal pembeli rumah wajib menyusun profil kewangan, sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan untuk meningkatkan kadar kelulusan.

"Antaranya adalah dengan menyusun hutang, mengurangkan penggunaan kad kredit dan memastikan pendapatan tambahan mereka diterima bank," katanya. Hi MORTGAGE adalah syarikat yang memberikan perkhidmatan nasihat mengenai kelayakan bakal pembeli rumah mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Radzi menjelaskan pembiayaan perumahan adalah berkaitan dengan profil kewangan pembeli dan juga produk pembiayaan oleh bank.

"Profil kewangan yang cantik akan memudahkan bank memberikan pinjaman. Profil cantik tidak bermaksud gaji tinggi semata-mata, sebaliknya turut berkisar kepada nisbah pembayaran hutang (DSR), yang memberi ruang kepada pembeli membuat pinjaman baharu," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article