2021-11-23

Kumpulan CIMB tawar permohonan URUS sehingga 31 Januari

Kumpulan CIMB tawar permohonan URUS sehingga 31 Januari



KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd (CIMB) dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) menawarkan kemudahan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) untuk individu B50 yang layak mulai 15 November sehingga 31 Januari 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata melalui program URUS, peminjam CIMB dari golongan B50 yang layak akan diberikan pilihan bantuan pembayaran balik.

Beliau berkata, mereka akan mendapat penepian faedah dan keuntungan untuk tempoh tiga bulan atau penepian faedah dan keuntungan selama tiga bulan berserta pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan secara keseluruhan.

Katanya, dalam tempoh ini, peminjam dengan pinjaman atau pembiayaan peribadi tidak bercagar dan kad kredit juga boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar faedah atau keuntungan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

"CIMB menyedari ramai di kalangan rakyat masih menghadapi kesukaran semasa persekitaran yang tidak menentu ini.

"Industri perbankan, termasuk CIMB, berbesar hati untuk bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam program sokongan kewangan komprehensif yang disesuaikan khas untuk segmen peminjam yang paling terdedah.

"CIMB kekal komited untuk membantu peminjam kami mengatasi beban kewangan mereka dan peralihan ke fasa pemulihan secara holistik. Ini akan membantu mempromosikan daya tahan kewangan jangka panjang mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

URUS adalah program bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif dan dirangka secara bersama oleh sektor perbankan dengan AKPK, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Secara keseluruhan, bank-bank dianggarkan memperuntukkan sebanyak RM1.0 bilion bagi membiayai kos program ini.

Program URUS akan dikelolakan oleh AKPK yang juga akan memberi bantuan pelan kewangan peribadi serta akses kepada pakej pendidikan pengurusan kewangan kepada peminjam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, bagi melayakkan diri untuk menyertai program URUS, peminjam B50 yang layak mesti sedang menjalani program bantuan pembayaran semula sedia ada pada 30 September 2021.

Beliau berkata, peminjam CIMB juga perlu memenuhi semua kriteria yang ditetapkan iaitu peminjam dengan pendapatan isi rumah kasar bawah RM5,880.

Bukti pendapatan isi rumah katanya akan diperlukan bagi peminjam yang bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berdaftar.

"Ia juga dibuka kepada mereka yang pernah mengalami sama ada kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus.

"Pinjaman/pembiayaan mereka pula yang masih berbayar tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan," katanya.

Untuk maklumat lanjut, peminjam CIMB boleh menghubungi Pusat Panggilan CIMB di talian 0362047788 atau emel ke covidcare@cimb.com.

Bagi pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula boleh hubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB 1300 888 828 atau layari http://www.cimb.com.my/frap.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article