2021-11-24

UDA tak roboh rumah pangsa Tanjong Tokong

UDA tak roboh rumah pangsa Tanjong Tokong



GEORGE TOWN – Syarikat pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) tiada perancangan untuk merobohkan penempatan rumah pangsa sedia ada di Tanjong Tokong.

Katanya, penempatan rumah-rumah pangsa itu telah menjadi hak milik penduduk tersebut sekali gus memastikan kepentingan mereka terjaga.

UDA dalam satu kenyataan berkata, hampir keseluruhan unit-unit kediaman penempatan semula di Tanjung Tokong diberi secara percuma di peringkat penduduk asal (BPTOL), anak-anak BPTOL serta penyewa unit rumah yang layak.

“Penglibatan UDA bagi penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong bermula pada tahun 1972 membabitkan kawasan seluas 43 ekar di mana 25 ekar telah dibangunkan dan baki 18 ekar akan dibangunkan sebagai penempatan semula (rumah ganti), rumah mampu milik dan rumah kos sederhana.

“Manakala pemberian tanah reklamasi seluas 54 ekar pada tahun 1998 pula untuk menampung sebahagian kos pembangunan penempatan semula penduduk Tanjong Tokong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah UDA, sehingga tahun lalu, pihaknya telah menyelesaikan penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong membabitkan 1,486 unit rumah.

“Kita juga sedang melaksanakan baki pembangunan untuk 650 keluarga yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi.

“UDA tiada perancangan untuk merobohkan penempatan rumah-rumah pangsa yang telah dibina kerana ia telah menjadi hak milik penduduk tersebut bagi memastikan kepentingan penduduk di Tanjong Tokong terjaga,” katanya.

Mengulas lanjut, UDA berkata, sejak tahun 1996, mereka tidak mendapat bantuan kewangan dari kerajaan.

“Sehubungan itu, pembangunan secara usaha sama antara UDA dan syarikat lain adalah salah satu inisiatif bertujuan membantu UDA dalam kelangsungan operasi perniagaan.

“UDA komited memikul amanah bagi membantu Bumiputera khususnya dalam pemilikan dan pembabitan mereka di kawasan bandar dan dalam masa sama, UDA juga perlu mengimbangkan antara keuntungan dan tanggungjawab bagi membantu memperkasakan golongan Bumiputera.

Dalam kenyataan sama, UDA menjelaskan pihaknya perintis kepada pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang yang menjadi model pusat komersial dan kediaman pertama seumpamanya di negara ini.

Antara pembangunan tanah wakaf dengan usaha sama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) yang telah dibina di sekitar Pulau Pinang adalah Wakaf Seetee Aisah (Taman Warisan Impian), Legasi Casarina dan Wakaf Mohammad Hashim.

“Pembangunan tanah wakaf memberi peluang kepada umat Islam untuk memiliki hartanah. Malah, usaha sama UDA dengan MAIPP juga membantu meningkatkan nilai hartanah wakaf sekali gus memperkukuh fungsi MAIPP dalam membangunkan umat Islam di Pulau Pinang,” kata UDA. – MalaysiaGazette



Source: Malaysiagazette.com

Prev. Article Next Article