2021-11-25

Dyson tamatkan kontrak ATA IMS

Dyson tamatkan kontrak ATA IMS



KUALA LUMPUR: Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS Bhd (ATA) mengesahkan ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) telah menerima notis penamatan kontrak daripada Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ATA berkata, ATAIM menerima notis berkenaan pada 24 November 2021, jam 5.30 petang.

Katanya, notis penamatan kontrak itu membabitkan Perjanjian Pengilangan Kontrak bertarikh 15 Oktober 2020 antara Dyson Operations dan ATAIM; perjanjian bagi Bekalan Barangan dan Perkhidmatan bertarikh 1 Mac 2013 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM dan Perjanjian Rangka Kerja bagi Bekalan Barangan (Perkakasan) bertarikh 17 Jun 2009 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM.

"Dyson Operations dan Dyson Manufacturing telah mengeluarkan notis penamatan tanpa sebab mengikut syarat kontrak masing-masing. Tarikh kuat kuasa penamatan ialah 1 Jun 2022 (Tarikh Penamatan). Sehingga Tarikh Penamatan, Dyson dan ATA akan terus melaksanakan sepenuhnya kewajipan masing-masing di bawah kontrak.

"Bagi ATA, ini termasuk terus mengeluarkan dan membekalkan produk, komponen dan perkakasan, dan meneruskan penyediaan perkhidmatan, untuk dan bagi pihak Dyson dan sekutunya mengikut terma kontrak. Lembaga Pengarah sedang menerima nasihat mengenai kesahihan notis penamatan," katanya.

Lembaga Pengarah juga mengambil maklum artikel berita di Reuters pada 25 November 2021, yang mana rujukan telah dibuat kepada penamatan kontrak oleh Dyson Operations dan Dyson Manufacturing serta audit terhadap amalan buruh syarikat.

Syarikat itu mengesahkan bahawa sebelum penerimaan notis penamatan, ia telah berbincang dengan Dyson mengenai penemuan audit.

Syarikat itu juga menyatakan bahawa ia telah mengambil langkah segera setelah dimaklumkan mengenai rumusan audit untuk berunding dengan Dyson dan berhubung dengan penasihat profesional untuk membantu syarikat membuat semakan semula, mengesahkan dan mensahihkan penemuan audit itu.

"Walaupun menerima notis penamatan, syarikat akan terus meneliti secara aktif penemuan audit. Syarikat akan membuat pengumuman lanjut apabila sesuai," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article