2022-01-11

Sunway buka hospital, pusat beli-belah baharu di Ipoh

Sunway buka hospital, pusat beli-belah baharu di Ipoh



KUALA LUMPUR: Kumpulan Sunway bakal membuka hospital dan pusat beli-belah baharu di Ipoh, Perak menjelang 2025 sebagai sebahagian daripada pelaburan RM2 bilion oleh kumpulan itu untuk perbandarannya, Sunway City Ipoh (SCI) bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Pelaburan itu akan turut merangkumi pembinaan tiga blok kediaman bertingkat, Sunway Onsen Suites, yang menyaksikan 90 peratus unit di menara pertamanya habis terjual dan pembangunan hab pendidikan termasuk universiti.

Sunway dalam satu kenyataan berkata, pusat perubatan Sunway Medical Centre Ipoh bernilai RM350 juta dengan 200 katil akan dibuka pada 2024 dan memenuhi permintaan penduduk yang semakin meningkat di SCI.

"Ia juga bagi memenuhi permintaan yang meningkat untuk rawatan perubatan peringkat tinggi melalui pusat kanser yang komprehensif dan tumpuan kepada perubatan gaya hidup kesihatan dan kesejahteraan wanita.

"Sebuah pusat beli-belah dengan keluasan bersih yang boleh disewakan seluas 700,000 kaki persegi dan 2,700 tempat letak kereta juga sedang dalam perancangan. Pembangunan hebat ini direka dengan mengambil kira dua perkara iaitu menggabungkan dengan persekitaran semula jadi Tambun sambil memperkenalkan pengalaman runcit terbaik di tengah Perak," katanya.

Kumpulan Sunway turut melabur RM16 juta bagi membesarkan Jalan Tambun yang diajngka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan akses ke Koridor Pembangunan Timur Ipoh.

Kerja naik taraf itu adalah kerjasama terbaharu yang dilakukan bersama oleh Sunway dan kerajaan negeri Perak sejak awal tahun 2000-an untuk memacu ekonomi bandar itu.

Majlis pecah tanah pembesaran Jalan Tambun dihadiri oleh Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, semalam.

Cheah berkata, menjadi harapan beliau ekosistem yang berkembang maju melalui perbandaran bersepadu seperti SCI, boleh menarik bakat yang terbaik dan cemerlang untuk menjadikan Ipoh sebagai rumah mereka.

"Sebelum pandemik COVID-19, sehingga dua juta pemandu akan melalui Lebuhraya Utara-Selatan semasa musim perayaan. Kami menyasarkan untuk menarik pelancong yang menggunakan lebuh raya untuk singgah ke Sunway City Ipoh dan menikmati kemudahan yang ditawarkan oleh Sunway," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article