2022-01-13

PR1MA bertegas

PR1MA bertegas



PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor dan perunding yang gagal menyiapkan projek mengikut perjanjian yang sudah dimeterai.

Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 sudah menyebabkan proses pembinaan terpaksa diperlahankan, sekali gus berlaku kelewatan dalam penyiapan projek.

"Bagaimanapun, ia kini dirancakkan semula dengan sasaran tarikh siap yang baharu.

"Saya mengambil maklum kelewatan ini menyebabkan pembeli mengalami kesukaran. Namun, kami di PR1MA berusaha memastikan pelan mitigasi projek sakit terutama yang terkesan akibat daripada penutupan sektor ekonomi ketika PKP berada dalam senarai keutamaan.

"Kami juga ingin memberi peringatan kepada kontraktor dan perunding untuk menyiapkan projek mengikut perjanjian yang dimeterai dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan selepas melakukan lawatan ke projek sakit PR1MA di wilayah utara, Melaka dan Negeri Sembilan bersama Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd Nazri Md Shariff, semalam.

Menurutnya, pembangunan projek rumah mampu milik di bawah kelolaan PR1MA di Kuala Lumpur dan Selangor diyakini mampu meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan M40.

"Projek ini dilaksanakan dengan matlamat menyediakan kediaman yang selesa, berkualiti dan berpatutan kepada rakyat Malaysia bermastautin di ibu kota dan kawasan sekitarnya," katanya.

Di Selangor, PR1MA mempunyai lima projek, iaitu dua di Kajang, dua di Cyberjaya dan satu di Bandar Bukit Mahkota.

Daripada jumlah itu, tiga siap, manakala dua masih dalam pembinaan.

Di Kuala Lumpur pula, PR1MA mempunyai tiga projek dan dua disiapkan manakala satu masih dalam pembinaan.

Dua projek yang dikategorikan sebagai projek sakit iaitu Residensi Bandar Bukit Mahkota dan Residensi Brickfields diberikan perhatian khusus dan langkah untuk menambah pekerja di tapak sudah dilaksanakan untuk mempercepatkan proses penyiapan projek.

Kedua-dua projek ini yang terletak di lokasi strategik mendapat sambutan memberangsangkan dari segi jualan di mana Residensi Bandar Bukit Mahkota terjual sebanyak 77 peratus manakala Residensi Brickfields terjual sebanyak 95 peratus.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article