2022-01-20

BCorp jual Berjaya University College

BCorp jual Berjaya University College



KUALA LUMPUR: Berjaya Corporation Bhd (BCorp) melalui anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Group Bhd (BGroup) menandatangani perjanjian jual beli saham dengan Nanyang International Education Group Sdn Bhd (Nanyang) untuk cadangan pelupusan keseluruhan 71.73 peratus kepentingannya dalam Pendidikan Tinggi Berjaya Sdn Bhd yang memiliki Berjaya University College (BUC).

Nanyang diperbadankan oleh pemegang saham majoritinya, Krirk International Education Holding Co Ltd (Krirk) untuk melabur dalam perniagaan pendidikan di Malaysia.

"Ia akan merealisasikan rancangan yang dijanjikan sebelum ini. Seperti yang digariskan dalam strategi transformasi kami, BCorp akan melupuskan beberapa bidang bukan terasnya supaya kami boleh memberi tumpuan kepada perniagaan teras kami.

"Walaupun pahit, kami gembira kerana BUC akan diuruskan oleh Kririk. Kami percaya mereka akan terus mencipta peluang dan melahirkan graduan yang berkebolehan, berkemahiran dan profesional yang akan menyumbang kepada Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BCorp, Jalil Rasheed dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Urus niaga BUC kini sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan dijangka selesai pada Jun 2022.


Pada Jun 2021, BCorp mengumumkan strategi transformatif untuk memberi tumpuan kepada lima bidang teras dan berusaha menjadi kumpulan pengguna di peringkat global.

Sebahagian daripada strategi ini termasuk pelupusan daripada bidang perniagaan yang tidak lagi termasuk dalam klasifikasi terbabit.

-BERNAMA



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article