2022-01-24

PCG bina loji melamina di Kedah

PCG bina loji melamina di Kedah



Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) bakal membina loji melamina berkapasiti 60,000 tan setahun di Gurun, Kedah, sekali gus menjadikannya pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara.

Disasarkan mula beroperasi pada 2024, projek ini adalah sejajar dengan pelan pertumbuhan PCG untuk berkembang ke derivatif dengan menambah nilai kepada molekul produk sedia ada seperti urea, metanol, poliolefin dan lain-lain.

PCG melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah (PCFK) akan menggunakan urea yang dihasilkan daripada PCFK sebagai bahan mentah untuk menghasilkan melamina.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof dalam kenyataan berkata, ia adalah pencapaian penting bagi kumpulan itu dan mengukuhkan lagi strategi mereka untuk mempelbagaikan portfolio produk.

"Dengan menempatkan loji dalam kawasan yang sama dengan PCFK, kumpulan akan dapat memaksimumkan nilai keseluruhan melalui integrasi bahan mentah dan utiliti dengan kemudahan PCFK sedia ada," katanya.


PCG adalah pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Ia mengendalikan loji bersepadu bertaraf dunia daripada pengeluaran bahan mentah sehingga produk hiliran.

Melalui jumlah kapasiti sebanyak 12.8 juta tan metrik setahun, syarikat ini terbabit dalam pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk bahan kimia termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta produk bahan kimia dan derivatif asas.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article