2022-05-09

Kelulusan pinjaman rumah meningkat awal 2022

Kelulusan pinjaman rumah meningkat awal 2022



KUALA LUMPUR: Prospek jualan hartanah baharu dijangka lebih baik pada 2022 berikutan jumlah pinjaman diluluskan yang tinggi dicatatkan pada suku pertama tahun ini, demikian menurut penganalisis.

Dalam tempoh tiga bulan pertama 2022, jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat 19.4 peratus kepada RM42.4 bilion, dengan jumlah pinjaman diluluskan meningkat 17.8 peratus kepada RM16.4 bilion pada Mac lalu selepas berkembang sembilan peratus pada Februari.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, pinjaman yang diluluskan lebih tinggi itu didorong terutama oleh peningkatan permohonan pinjaman.

Ia juga, katanya berikutan peratusan lebih tinggi daripada jumlah pinjaman diluluskan berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 39 peratus pada suku pertama 2022, berbanding 34 peratus pada suku pertama 2021.

"Secara ringkasnya, permohonan pinjaman yang lebih tinggi dan data yang diluluskan pada Mac 2022 membayangkan bahawa pemulihan permintaan hartanah kekal utuh, selaras dengan jangkaan kami terhadap tinjauan jualan hartanah baharu yang lebih baik.

"Kami mengekalkan pandangan bahawa prospek jualan hartanah baharu dijangka lebih baik sedikit pada 2022 disebabkan pembukaan semula ekonomi," katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, kenaikan harga produk petroleum telah menyebabkan kos bahan binaan iaitu simen dan keluli meningkat.

Ia berkata, kos bahan mentah yang lebih tinggi dijangka menyebabkan tanggungan kos lebih besar kepada pemaju hartanah.

Katanya, walaupun pihaknya menganggap bahawa pemaju hartanah mungkin memindahkan sebahagian kos bahan binaan lebih tinggi kepada pembeli hartanah dengan menaikkan sedikit harga jualan, ia berpendapat bahawa pemaju hartanah berkemungkinan menghadapi sedikit pemampatan margin dalam tempoh terdekat.

"Ini memandangkan mereka (pemaju hartanah) mungkin tidak dapat menyalurkan sepenuhnya kenaikan kos kepada pembeli hartanah berikutan keadaan pasaran hartanah semasa yang lemah.

"Kami berpendapat bahawa pemaju hartanah mungkin menghadapi tekanan kos pada 2022 disebabkan peningkatan kos bahan mentah. Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor hartanah," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article