2022-05-11

Subway mahu buka 500 cawangan baharu di Malaysia

Subway mahu buka 500 cawangan baharu di Malaysia



KUALA LUMPUR: Subway menerusi rakan kongsinya di Malaysia, Pegacorn Sdn Bhd merancang membuka 500 cawangan baharu jenama restoran khidmat pantas di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pegacorn yang memeterai perjanjian francais induk baharu dengan Subway untuk pasaran Malaysia Barat, bercadang meningkatkan jumlah restoran itu di pasaran dan pertambahan cawangan baharu akan dilaksanakan secara berterusan setiap tahun.

Perjanjian francais induk baharu Subway bersama Pegacorn adalah ketiga seumpamanya di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Thailand, demikian menurut Subway dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Subway, John Chidsey, berkata pasaran Asia Pasifik dan Asia Tenggara terus menyediakan peluang pertumbuhan besar kepada jenama itu dan menjadi bahagian penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsanya.

"Pegacorn telah terbukti sebagai pengendali tempatan yang mempunyai sumber yang baik, strategik dan berjaya yang memiliki wawasan serta pengalaman tempatan yang diperlukan untuk mengembangkan kehadiran Subway di Malaysia," katanya.

Chidsey berkata, memandangkan kebolehcapaian kekal sebagai keutamaan bagi jenama, pelanggan boleh menjangkakan untuk melihat peningkatan lokasi bukan tradisional Subway di seluruh Malaysia seperti di lapangan terbang, hospital, stesen minyak dan kedai serbaneka.

"Di samping itu, cawangan baharu termasuk restoran sedia ada bakal menampilkan reka bentuk moden 'Fresh Forward' dan kemudahan telah dipertingkatkan kepada pengguna dengan pilihan perkhidmatan pandu lalu serta 'Grab & Go'," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pegacorn, Kin Siong Kon, berkata, syarikat itu komited mengembangkan perniagaan untuk menjadikan Subway lebih mudah diakses oleh komuniti di seluruh negara selepas melihat peningkatan permintaan terhadap produk jenama itu daripada pelanggan di Malaysia.

"Kami teruja dengan peluang untuk menerajui Subway di Malaysia Barat dan meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai jenama ini," katanya.

Perjanjian dengan Pegacorn adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi berbilang tahun syarikat itu untuk membina kedudukan yang lebih baik dan menambah baik dalam semua aspek jenama sambil perniagaan mengembangkan kehadirannya di seluruh dunia.

Subway secara agresif bakal menggandakan rangkaian restoran semasa di rantau ini daripada kira-kira 3,300 hari ini kepada lebih 6,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article