2022-05-13

Konsep keperluan berbilang generasi

Konsep keperluan berbilang generasi



Kuala Lumpur: Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (HOMEDEC) akan kembali menemui pengunjung pada 13 hingga 16 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan membawa tema dan konsep baharu yang lebih menarik termasuk pameran AGExpo

Presiden dan Penganjur CIS untuk HOMEDEC dan AGExpo Datuk Vincent Lim berkata, edisi pameran kali ini membawakan konsep keperluan hidup berbilang generasi.

Katanya, HOMEDEC pameran rumah perintis Malaysia dengan khazanah inspirasi dan idea dalam mencipta kediaman yang cantik dan direka dengan teliti.

"Kali ini dengan AGExpo, kami menyasarkan untuk membawa kesedaran dan pengetahuan untuk warga emas dan kehidupan serta gaya hidup warga emas untuk setiap keluarga.

"Kami juga melihat trend untuk rumah berbilang generasi dan untuk memenuhi keperluan 'generasi sandwic' iaitu mereka yang membesarkan anak pada masa yang sama menjaga ahli keluarga mereka yang lebih tua," katanya.

Menurutnya, AGExpo dianjurkan sebagai pameran separa perdagangan dengan tujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kehidupan dan kesejahteraan penjagaan warga emas untuk mempromosikan kualiti hidup yang tinggi pada setiap peringkat umur.

AGExpo mempamerkan amalan terbaik dalam perkhidmatan profesional dalam menjaga warga emas yang diperoleh daripada pakar industri yang diiktiraf di Malaysia dan luar negara.

Lim berkata, penduduk warga emas Malaysia semakin meningkat (merujuk kepada mereka yang dilahirkan antara 1946 dan 1964) sudah menjadi warga emas kerana bilangan yang berumur lebih 65 tahun di Malaysia diunjurkan meningkat tiga kali ganda daripada dua juta kepada lebih enam juta menjelang 2040.

"Bersama-sama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Warga Emas Malaysia (Nacscom), kami melihat keperluan untuk pameran sebegini.

"Kami menyukai idea AGExpo, kerana ia menyerlahkan aspek positif penuaan. Hari ini, terdapat banyak cara untuk ahli masyarakat kita yang semakin tua menjaga kesihatan mereka supaya mereka menjalani kehidupan yang kuat, berguna dan juga untuk penjaga mereka mempunyai pengetahuan, kemahiran dan alat untuk mengurus isu penuaan.

"AGExpo membantu memberi inspirasi kepada perbincangan kritikal mengenai keperluan warga tua," katanya.

Sementara itu, pengunjung digalakkan untuk mengesahkan kehadiran di https://bit.ly/HD22KL1PR sebelum menghadiri pameran.

Prosedur operasi standard (SOP) akan disediakan semasa pameran mengikut keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.homedec.com.my dan www.agexpo.com.my atau ikuti Facebook HOMEDEC dan AGExpo.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article