2022-06-17

KWSP tambah baik portal i-Invest

KWSP tambah baik portal i-Invest



Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pelancaran ciri-ciri baharu portal web i-Invest untuk menambahbaik pengalaman ahli.

Pelbagai ciri-ciri web i-Invest seperti menjalankan transaksi, penilaian kesesuaian pelabur dan maklumat lanjut mengenai dana unit amanah yang diluluskan serta institusi pengurusan dana (IPD) yang menawarkannya juga kini tersedia dalam aplikasi mudah alih i-Akaun, yang akan dikemaskini dengan ciri-ciri tambahan lain pada masa akan datang.

"Dalam usaha membantu ahli membuat pilihan pelaburan yang lebih termaklum, KWSP julung kalinya telah memperkenalkan Dashboard Sejarah Prestasi Pelaburan bagi membolehkan ahli menganalisis prestasi pulangan pelaburan berdasarkan tempoh pelaburan yang pelbagai.

"Ciri baharu ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri pengurusan dana domestik dan turut dilengkapi dengan paparan pulangan pelaburan berdasarkan tiga kategori utama untuk membolehkan perbandingan dibuat pada peringkat dana, peringkat IPD, dan peringkat portfolio keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

KWSP juga memperkenalkan simulator pelaburan sebagai alat untuk membantu ahli membuat penilaian untuk mencapai objektif pelaburan berdasarkan lima parameter utama.

Objektif pelaburan kini boleh disimulasikan berdasarkan pilihan amaun pelaburan awal, amaun pelaburan bulanan, tempoh pelaburan, kadar pulangan atau nilai akhir pelaburan.

Portal i-Invest yang ditambah baik ini juga menyediakan paparan penanda aras Lipper untuk ahli membuat perbandingan prestasi dana-dana unit amanah dengan penanda aras dana-dana tersebut.

Portal i-Invest yang dilancarkan pada Ogos 2019, menawarkan pelbagai fungsi, fleksibiliti dan kemudahan untuk ahli membuat pilihan pelaburan serta memantau pelaburan mereka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Menerusi kemudahan ini, ahli boleh membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD dan mendapatkan paparan yang menyeluruh mengenai kesemua pegangan pelaburan mereka, maklumat tentang kos pelaburan, sejarah prestasi dana, serta maklumat berkanun berkaitan IPD.

KWSP akan terus memastikan portal i-Invest ditambah baik dari semasa ke semasa untuk manfaat ahlinya, dan menjemput ahli untuk memberikan maklum balas mengenai portal i-Invest.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article