2022-06-20

2021 tahun beri hasil

2021 tahun beri hasil



LBS Bina Group Berhad (LBS) konsisten berada di landasan betul dengan rancangan untuk melancarkan 14 projek yang dianggarkan bernilai RM1.77 bilion pada 2022 di seluruh Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, 2021 adalah tahun yang membuahkan hasil.

"Kami berharap dengan tumpuan berterusan terhadap perniagaan dan pembayaran dividen yang konsisten selaras dengan dasar dividen syarikat, pemegang saham LBS akan terus menaruh kepercayaan mereka kepada kami.

"Kami akan mengharungi cabaran 2022 dengan berhati-hati melangkah di tengah-tengah pemulihan ekonomi dan berharap untuk terus mengemudi LBS ke hadapan di samping meningkatkan nilai pemegang kepentingan," katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga 15 Jun 2022 LBS merekodkan jualan hartanah sebanyak RM816 juta dengan tempahan dalam perancangan sejumlah RM683 juta.

Katanya, pihaknya sudah melihat peningkatan yang menggalakkan di dalam industri pasaran hartanah selaras dengan pemulihan ekonomi.

"Berdasarkan data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, jumlah kumulatif permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pada suku pertama 2022 meningkat 4.06 peratus tahun ke tahun," katanya.

Sementara itu, Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 (AGM) yang berlangsung baru-baru ini yang dijalankan secara maya sepenuhnya, mengumumkan bahawa kesemua 11 resolusi biasa yang dibentangkan semasa AGM untuk pertimbangan telah diluluskan oleh pemegang saham.

Ia termasuk dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.00 sen sesaham (dividen akhir) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FYE2021).

Sebagai tambahan kepada dividen interim pertama LBS sebanyak 0.85 sen sesaham (dividen pertama) yang telah diumumkan pada 15 April 2022, jumlah dividen LBS untuk tahun kewangan 2021 adalah berjumlah 1.85 sen sesaham.

Dividen interim pertama dan dividen akhir akan dibayar masing-masing pada 14 Julai 2022 dan 15 September 2022 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai di dalam Rekod Pendeposit LBS pada 30 Jun 2022 dan 30 Ogos 2022.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article