2022-06-21

LBS yakin pasaran hartanah semakin pulih

LBS yakin pasaran hartanah semakin pulih



KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS) melihat peningkatan menggalakkan dalam pasaran hartanah selaras dengan pemulihan ekonomi, kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah kumulatif permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pada suku pertama 2022 meningkat 4.06 peratus dari tahun ke tahun.

"LBS konsisten berada di landasan dengan rancangan untuk melancarkan 14 projek yang dianggarkan bernilai RM1.77 bilion pada 2022 di seluruh Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-22 LBS secara maya.

Pada AGM itu, LBS mengumumkan bahawa kesemua 11 resolusi biasa yang dibentangkan semasa AGM untuk pertimbangan telah diluluskan oleh pemegang sahamnya, termasuk dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.00 sen sesaham (dividen akhir) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Sebagai tambahan kepada dividen interim pertama LBS sebanyak 0.85 sen sesaham (dividen pertama) yang telah diumumkan pada 15 April 2022, jumlah dividen LBS untuk tahun kewangan berakhir 2021 adalah berjumlah 1.85 sen sesaham.

Dividen interim pertama dan dividen akhir akan dibayar masing-masing pada 14 Julai 2022 dan 15 September 2022 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai di dalam Rekod Pendeposit LBS pada 30 Jun 2022 dan 30 Ogos 2022.

Hock San berkata, 2021 adalah tahun yang membuahkan hasil dan pihaknya berharap dengan tumpuan berterusan terhadap perniagaan serta pembayaran dividen yang konsisten selaras dengan dasar dividen syarikat, pemegang saham LBS akan terus menaruh kepercayaan terhadap syarikat.

Beliau berkata, LBS akan mengharungi cabaran 2022 dengan berhati-hati melangkah di tengah-tengah pemulihan ekonomi dan berharap untuk terus mengemudi LBS ke hadapan di samping meningkatkan nilai pihak berkepentingan.

Sehingga 15 Jun 2022, LBS telah merekodkan jualan hartanah sebanyak RM816 juta dengan tempahan dalam perancangan sejumlah RM 683 juta.

Dengan mengutamakan pembeli rumah, LBS telah membina dan membentuk landskap negara selama 30 tahun dan terus memenuhi permintaan pasaran bagi rumah berkualiti dan mampu milik.

Kini, dengan bank tanah di seluruh Malaysia, LBS terus meraih kejayaan dan kekal kukuh dengan kejayaan perbandaran seperti Bandar Saujana Putra, KITA @ Cybersouth di Dengkil, LBS Alam Perdana di Bandar Puncak Alam dan lain-lain lagi.

Selain daripada pembangunan hartanah, LBS turut terbabit di dalam pengurusan runcit, perhotelan dan pelancongan.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article