2022-06-23

Kekalkan prestasi

Kekalkan prestasi



Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengambil langkah waspada dalam menangani risiko berkaitan pemulihan pascapandemik serta perbalahan di Ukraine dengan memberi fokus kepada mengekalkan pertumbuhan dan membina semula simpanan ahli.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kebimbangan sekitar inflasi, gangguan rantaian bekalan dan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat berkemungkinan menjejaskan arah aliran positif dalam kedua-dua pasaran ekuiti dan bon.

"KWSP akan terus mengimbangi semula kedudukan dananya dalam saham yang pada asasnya kukuh, tetapi dinilai rendah," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau juga berkata, sebagai antara tonggak rangka kerja sosioekonomi dan keselamatan sosial negara, prestasi dana KWSP dan sokongannya terhadap pasaran modal domestik adalah penting kepada kejayaan ekonomi negara.

Amir Hamzah berkata, bahawa empat kemudahan pengeluaran pandemik iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas sudah membantu ahli sepanjang pandemik itu, tetapi memandangkan negara sudahpun memasuki fasa endemik, tumpuan kini perlu disalurkan kepada membantu ahli membina semula simpanan mereka.

"Selain mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan masa depan ahli, KWSP juga perlu memastikan ia dapat mengekalkan prestasinya pada masa hadapan.

"Sebarang pengeluaran tambahan akan memberi impak terhadap kewangan KWSP dan melemahkan kedudukan portfolio semasa dan keupayaannya untuk menjana pulangan yang mampan.

"Kami juga akan terus memastikan kesihatan kewangan dan kepelbagaian portfolio global KWSP berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), agar kami dapat mengatasi ketidaktentuan dalam mencapai objektif portfolio jangka panjang," katanya.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article