2022-08-08

S P Setia yakin capai jualan RM4 bilion

S P Setia yakin capai jualan RM4 bilion



SHAH ALAM: Pemaju hartanah terkemuka, S P Setia Bhd masih berada di dalam landasan mencapai sasaran jualan RM4 bilion untuk tahun kewangan 2022, walaupun berlaku kelewatan pelancaran beberapa projek yang dibangunkannya.

Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) S P Setia, Datuk Seri Koe Peng Kang, berkata kelewatan adalah kerana syarikat masih belum menerima Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membabitkan sebahagian projeknya.

Katanya, perkembangan sedemikian menyebabkan pemaju hartanah itu terpaksa menganjak ke hadapan pelancaran beberapa projek hartanahnya.

"Sebagai contoh, pelancaran projek kedai pejabat di Setia Alamsari, Kajang yang pada mulanya dijadual dilancarkan pada suku kedua lalu, tetapi kini hanya akan dilancarkan pada pertengahan bulan ini.

"Hal ini kerana selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, banyak pemaju menghantar permohonan APDL, pada masa sama, sehingga menyebabkan berlaku kesesakan untuk mendapatkan kelulusan, sekali gus menyebabkan kelewatan.

"Namun, berita baiknya ialah semua projek kritikal yang kami ada setakat ini seperti projek apartmen servis Trio di Bandar Bukit Tinggi, Klang dan projek Setia Sky Seputeh di Kuala Lumpur sudah mencapai 80 peratus kemajuan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan di hab makanan dan minuman (F&B) D'Network @ Setia Eco Park, di sini, baru-baru ini.

D'Network adalah hab F&B pertama di dunia yang dikuasakan oleh kuasa solar hibrid.

Dibangunkan di atas tapak seluas 1.28 hektar, hab F&B itu siap dibina pada 15 September 2020 dan mempunyai sehingga 17 lot kedai termasuk 13 restoran, taman permainan dan tasik untuk kemudahan penduduk Setia Eco Park dan sekitarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Peng Kang berkata, beliau tidak menjangkakan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan menjejaskan permintaan terhadap hartanah secara keseluruhannya.

Katanya, permintaan hartanah tetap ada meskipun kadar faedah sebelum ini pernah mencapai kadar yang lebih tinggi daripada sekarang.

"Saya berpandangan, kesannya (terhadap sektor hartanah) tetap ada, tetapi ia tidak akan menyebabkan rakyat Malaysia untuk berhenti berfikir daripada terus membeli rumah.

"Namun, apa yang lebih penting sebenarnya ialah ekonomi kita perlu terus berkembang dan peluang pekerjaan masih terus ada. Kadar faedah ini hanyalah salah satu faktor penyumbang kepada permintaan hartanah," katanya.

Dalam pada itu, Peng Kang berkata, pihaknya akan terus meninjau tanah yang berpotensi dalam negara untuk dibeli dan pada harga sesuai.

"Pada masa ini, kami mempunyai lebih 2,832.8 hektar tanah di seluruh negara yang masih belum dibangunkan lagi," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article