2022-09-22

Jualan hartanah lonjak keuntungan Glomac

Jualan hartanah lonjak keuntungan Glomac



KUALA LUMPUR: Glomac Bhd meraih pendapatan lebih tinggi pada suku pertama tahun kewangan 2023 kepada RM65.5 juta, melonjak 127 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Lonjakan pendapatan pemaju hartanah itu menyaksikan keuntungan sebelum cukainya juga meningkat ketara 108 peratus kepada RM7.9 juta berbanding RM3.8 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022.

Dalam satu kenyataan, Glomac berkata, keputusan kewangan lebih baik itu kebanyakan disumbangkan terutama oleh penyambungan semula aktiviti pembinaan seiring dengan pelonggaran sekatan COVID-19 di Malaysia.

"Projek yang menyumbang kepada pendapatan suku dikaji termasuk pembinaan fasa berikutnya bagi Saujana Perdana, Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences," katanya.

Lembaran kira-kira Glomac juga berada kedudukan sihat. Pada 31 Julai 2022, tunai dan deposit tunai kumpulan meningkat kepada RMRM223.8 juta, berbanding RM215.4 juta yang dilaporkan pada akhir April 2022.

Aset bersih sesaham berjumlah RM1.50.

Dividen tunggal akhir yang dicadangkan sebanyak 1.5 sen sebelum ini untuk tahun kewangan 2022 akan dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) akan datang.

Dividen yang dicadangan itu diterjemahkan kepada hasil sebanyak 5.0 peratus pada harga saham semasa.

Sementara itu, Glomac mengumumkan pencapaian jualan tertinggi sebanyak RM52 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023, berbanding RM30 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan 2022.

Menurut Glomac, prestasi jualan lebih baik itu dipacu oleh pengambilan sepenuhnya pejabat kedainya di Residences, Puchong termasuk permintaan kukuh terhadap projek perbandaran yang sedang dimajukan di Saujana Perdana dan Saujana Utama 5.

Glomac berkata, jualan yang belum dibilkan berada pada RM512 juta setakat 31 Julai 2022, sekali gus mencadangkan keterlihatan pendapatan untuk kumpulan itu.

"Glomac bercadang untuk memacu pendapatan menerusi kemajuan pembinaan yang mantap daripada projek yang sedang dimajukan dan kejayaan melancarkan projek baharu yang akan datang.

"Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai inflasi, kekurangan buruh, kenaikan kadar faedah dan kos binaan yang mungkin menjejaskan sektor hartanah.

"Prospek jangka panjang kekal kukuh, disokong kunci kira-kira yang sihat dan perancangan utuh bagi projek pembangunan masa depan yang sebahagian besarnya terletak secara strategik di dalam Lembah Klang," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article