2022-11-16

Ekonomi Malaysia akan berkembang lebih 8% tahun ini - Penganalisis

Ekonomi Malaysia akan berkembang lebih 8% tahun ini - Penganalisis



KUALA LUMPUR: Firma-firma penyelidikan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini akan berkembang melebihi 8 peratus setelah merekodkan pertumbuhan luar biasa pada suku ketiga pada 14.2 peratus.

Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) Jumaat lalu menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang kukuh pada suku ketiga disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap.

Pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus dan lebih kukuh berbanding 5 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2022 menjadikan pertumbuhan bagi tempoh sembilan bulan sebanyak 9.3 peratus.

Kali terakhir ekonomi negara ini mencatatkan pertumbuhan dua angka adalah pada suku kedua tahun lalu sebanyak 16.1 peratus.

Maybank Investment Bank (IB) menyemak naik pertumbuhan tahun ini kepada 8 peratus daripada 6 peratus yang dijangkakan sebelum ini meskipun ekonomi suku keempat dijangka berkembang sederhana.

Menurutnya, terdapat beberapa pemangkin dalam tempoh terdekat terutamanya keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini dan implikasi terhadap kestabilan politik dan dasar yang lebih jelas.
"Selain itu, ia turut dipengaruhi impak daripada Bajet 2023, pelaksanaan projek pembangunan dan infrastruktur serta mekanisme subsidi bahan api bersasar," katanya dalam nota kajian pada Selasa.

Bagaimanapun, ia mengekalkan jangkaan pertumbuhan yang lebih sederhana pada 2023 sekitar 4 peratus ekoran kemelesetan ekonomi global oleh negara ekonomi utama dan kesan daripada persekitaran 'inflasi tinggi-kadar faedah tinggi'.
Firma itu berkata, antara faktor yang mengurangkan kesan buruk terhadap prospek pertumbuhan domestik termasuklah pengeluaran lebihan simpanan isi rumah/individu dan sektor pelancongan kembali pulih menjadi penampan kepada perbelanjaan pengguna.

"Turut menyokong prospek ini ialah momentum pertumbuhan pelaburan disokong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh diluluskan serta projek infrastruktur yang sedang berjalan dan baharu termasuklah projek digital dan hijau.
"Kami juga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) daripada tahap 'akomodatif' kepada 'neutral' dan bukannya 'mengehadkan' kepada 3 peratus menjelang Januari 2023," jelasnya.
Sementara itu, AmInvestment Bank berkata, di sebalik pertumbuhan kukuh suku ketiga, ketidaktentuan dijangka bermula pada suku keempat dan seterusnya dengan menyaksikan beberapa petunjuk daripada sektor pembuatan.

Firma itu menjangkakan aktiviti perdagangan semakin perlahan terutamanya disebabkan aktiviti ekonomi yang lembap daripada negara dagangan utama seperti China dengan data terkini eksport dan import menunjukkan penurunan sejak Ogos.
Ini juga bertepatan dengan angka Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan, yang telah berada dalam aliran menurun sejak Julai 2022, dan jatuh di bawah ambang 50 sejak September 2022.

Penurunan ini disebabkan oleh permintaan yang lebih perlahan daripada luar, kerana ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan kawasan Euro sedang menuju ke arah kelembapan.
Selain itu, sektor perladangan sawit masih kekurangan 54,630 daripada kira-kira 437,212 pekerja yang diperlukan, berdasarkan anggaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Malah, levi berbilang peringkat yang dicadangkan dalam bajet boleh melemahkan pemulihan sektor itu.

"Dari segi isi rumah pula, kenaikan kos sara hidup masih menjadi isu utama. Inflasi makanan masih lagi tinggi tahun ini, meningkat 5.3 peratus setakat ini.
"Dengan kenaikan kos sara hidup dan kos perniagaan yang semakin tertekan, kemungkinan KDNK suku keempat lebih perlahan kekal tinggi pada pandangan kami. Ketidaktentuan juga dijangka berlaku semasa kita melangkah ke 2023," jelasnya.
Namun, ia masih mengekalkan unjuran KDNK 2022 tahun ini sekitar 8.5 hingga 9 peratus dengan pertumbuhan suku keempat dijangka berlegar pada 6 hingga 8 peratus dipacu penggunaan swasta, perdagangan luar dan kesan asas yang rendah.
Bagi 2023, firma itu menjangkakan pertumbuhan yang lebih sederhana pada 4.5 peratus memandangkan risiko penurunan menjadi lebih ketara.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut menyemak semula pertumbuhan tahun ini kepada 8.2 peratus daripada 6.5 peratus sebelum ini berdasarkan kepada pertumbuhan suku ketiga yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Ia berkata, walaupun pertumbuhan dijangka sederhana pada suku keempat kerana ketiadaan kesan asas dan permintaan luar yang lemah, ekonomi dijangka terus disokong oleh permintaan dalam negeri di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang semakin baik.

"Melangkah ke 2023, inflasi utama dan teras dijangka kekal tinggi di tengah-tengah tekanan permintaan dan kos yang tinggi dan terdapat kemungkinan pelarasan kepada dasar di peringkat domestik.
"Oleh itu, kami menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas menjelang Mac 2023," katanya.
Mengambil kira prospek ekonomi yang suram, firma itu menyemak turun unjuran KDNK 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini.

Minggu lalu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat itu melihat beberapa cabaran terhadap pertumbuhan pada 2023, namun tidak menjangkakan kemelesetan.
Cabaran terhadap pertumbuhan adalah berikutan faktor luaran termasuk ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan yang berterusan. - DagangNews.com



Source: Astroawani.com

Prev. Article Next Article