2022-11-17

Bertam Resort and Water Park pacu ekonomi tempatan

Bertam Resort and Water Park pacu ekonomi tempatan



KEPALA BATAS: Sebuah projek baharu dinamakan Bertam Resort and Water Park bernilai RM90 juta bakal menjadi satu daripada tarikan utama di kawasan itu sekali gus menjana kesan limpahan ekonomi tempatan apabila siap kelak, kata pemaju projek Anas Construction Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya Datuk Mohamed Iqbal S Habeeb Noohu berkata taman tema air itu kini 98 peratus siap dan akan dibuka kepada pelawat pada pertengahan Disember tahun ini.

"Kami menjangkakan taman tema itu menerima kira-kira 200,000 pengunjung setahun.

"Mengenai resort pula, ia dijangka siap pada suku pertama tahun depan," katanya kepada media hari ini.

Mengenai harga tiket, beliau berkata ia masih belum dimuktamadkan, tetapi ia adalah berpatutan.

Terdahulu, Mohamed Iqbal membentangkan kemajuan projek itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kepala Batas.

Reezal Merican dalam pada itu berkata jangkaan 200,000 pelawat setahun adalah konservatif tetapi boleh dicapai, sambil menambah bahawa projek itu dijangka menyediakan 300 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta menjana peluang perniagaan baharu di kawasan Kepala Batas.

Resort dan taman tema bertaraf lima bintang berkonsepkan 'Moroccan' ini dibina di atas tanah berkeluasan 8.09 hektar dan dimiliki sepenuhnya oleh The Maritime Water Front Suites Sdn Bhd.

Ia terletak di Bertam, kira-kira 20 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article