2022-11-21

Southern Score kukuh kehadiran sektor pembinaan

Southern Score kukuh kehadiran sektor pembinaan



KUALA LUMPUR: Southern Score Builders Bhd (Southern Score) akan memperkukuhkan kehadirannya dalam sektor pembinaan dengan tumpuan dalam perkhidmatan pengurusan pembinaan, demikian kata

Beliau berkata, pihaknya meninjau memasuki sektor pembinaan berikutan pemulihan dalam permintaan subsektor kediaman.

Katanya, projek infrastruktur awam yang besar juga akan memanfaatkan subsektor itu dengan kesan limpahan positif melalui ketersambungan.

Jelasnya, secara operasi, syarikat itu mempunyai model aset ringan yang membolehkannya berkembang di samping kekal fleksibel dari segi struktur kos memandangkan ia tidak memegang sebarang tanah, justeru mempunyai pendedahan yang lebih rendah terhadap kitaran dan harga rumah.

"Di samping itu, penyumberan luar bagi kerja pembinaan semuanya kepada subkontraktor, yang turut membekalkan jentera, membantu kami menyesuaikan kos kepada perubahan dalam tempahan kontrak kerana ini akan menjadikan asas kos lebih tegar," katanya kepada BH.

Mengulas prospek syarikat, Yee Hin berkata, terdapat juga jaminan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM80 juta dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga tahun kewangan 2024 disokong oleh tempahan kontrak berjumlah RM528 juta.

Beliau berkata, Southern Score mempunyai prestasi kewangan yang kukuh dengan aliran tunai operasi yang positif dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan pinjaman sifar.

"Kami berhasrat untuk mengembangkan pembuatan produk Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk memanfaatkan penggunaan amalan mampan sektor pembinaan.

"Kami mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.51 juta, RM19.20 juta dan RM35.18 juta bagi tahun kewangan masing-masing berakhir 31 Disember 2019, 2020 dan 2021. Kami berharap trend ini berterusan pada masa hadapan," katanya.

Mengenai projek sedang dijalankan dan akan datang, Yee Hin berkata, bagi projek yang akan datang, Southern Score mempunyai surat hasrat daripada pemaju hartanah untuk penyediaan perkhidmatan pembinaan dan mempunyai satu projek di peringkat tender daripada pemilik tanah.

Beliau berkata, projek itu terutamanya untuk projek rumah mampu milik yang terletak di Lembah Klang, dengan jumlah kontrak sebanyak RM634.3 juta.

Katanya, bagi projek yang sedang berjalan, syarikatnya mempunyai Platinum Arena Residences, yang mempunyai jumlah kontrak sebanyak RM199.11 juta; Vista Wirajaya 1 @ PV9 Residences dengan jumlah kontrak RM308.68 juta; Vista Sentul Residences dengan jumlah kontrak RM149.57 juta dan; Vista Harmoni Residences dengan jumlah kontrak RM131.40 juta.

Menuju ke hadapan, Yee Hin berkata, dengan momentum aktiviti ekonomi sudah kembali, pihaknya menjangkakan pertumbuhan dalam sektor pembinaan akan turut pulih pada 2022 disokong oleh aktiviti pembinaan yang berterusan daripada projek infrastruktur awam yang besar serta pelaksanaan projek berskala kecil di bawah Bajet 2022.

Beliau berkata, pasaran pekerjaan yang lebih stabil juga akan menyokong subsektor kediaman, yang akan mendapat manfaat daripada projek perumahan baharu dan pelancaran manakala pertumbuhan dalam subsektor bukan kediaman dijangka disokong oleh projek komersil sedia ada dan baharu serta projek perindustrian.

Katanya, aktiviti pembinaan kediaman dijangka pulih dalam jangka panjang dengan nilai projek pembinaan kediaman yang dianugerahkan meningkat daripada RM27.2 bilion pada 2021 kepada RM32.2 bilion pada 2025 pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 4.3 peratus.

Jelasnya, pertumbuhan dalam segmen rumah mampu milik dijangka melantun semula lebih cepat daripada segmen kediaman kelas pertengahan dan mewah, manakala segmen pejabat dan runcit dijangka menyaksikan pemulihan yang lebih perlahan sepanjang tempoh unjuran.

"Melangkah ke hadapan, pembinaan infrastruktur juga dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan awam.

"Kami akan terus sibuk melaksanakan apa yang telah kami dedahkan di bawah pengambilalihan terbalik (RTO), yang termasuk suntikan dana kepada TCS SS Precast Construction Sdn Bhd (TSPC), pembelian bahan binaan, pembayaran balik kontraktor, pemerolehan atau penyewaan aset pembinaan serta pemerolehan pejabat. Ini akan berlaku dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

"Sementara itu, memandangkan peningkatan semula aktiviti pembinaan dan peningkatan dalam pelancaran kediaman baharu, kami akan sibuk dengan tender projek bagi menambah tempahan kontrak kami," katanya.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article