2022-11-22

Pusat 3S Honda RM15 juta

Pusat 3S Honda RM15 juta



HONDA Malaysia membuka Pusat 3S baharu yang juga terbesar di Kuching yang dikendalikan oleh Northmont Capital Sdn Bhd (Northmont Capital) yang terletak di Petra Jaya.

Honda Malaysia kini mempunyai 14 pengedar di Sabah dan Sarawak, dan pembukaan Pusat 3S Honda baharu ini mempertingkatkan lagi rangkaian pengedar Honda Malaysia di lokasi ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, tahun ini, Sabah dan Sarawak mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan, dan menyumbang 5.0 peratus kepada jumlah jualan Honda Malaysia dari Januari hingga September 2022.

"Daripada jumlah itu, Sarawak penyumbang tertinggi dengan 3.0 peratus. Model City adalah yang paling popular di Sarawak, menyumbang 22 peratus kepada jumlah jualan di negeri ini.

"Malah, HR-V serba baharu yang dilancarkan pada Julai 2022 juga mendapat sambutan yang menggalakkan di Sarawak, dengan lebih 200 unit terjual.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan Honda di wilayah ini atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap jenama Honda," katanya dalam kenyataan.

Northmont Capital melabur kira-kira RM15 juta untuk pembukaan Pusat 3S Honda baharu itu yang terletak di atas tanah seluas 4,711 meter persegi dengan jumlah keluasan binaan 2,339 meter persegi, iaitu Pusat Honda 3S terbesar di Kuching.

Dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan terkini di bawah pematuhan piawaian Honda, Pusat 3S Honda baharu menempatkan 12 lorong servis, tiga lorong pembaikan am, dan satu lorong servis tayar yang boleh mengendalikan sehingga 50 kereta setiap hari.

"Honda Malaysia mengutamakan perkhidmatan selepas jualan untuk menawarkan pengalaman terbaik memiliki sebuah Honda. Sehingga kini, Sarawak merekodkan hampir 40,000 pengambilan perkhidmatan, iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus dari 2021.

"Pembukaan Pusat 3S baharu ini dengan pengembangan kemudahan adalah tepat pada masanya untuk memenuhi peningkatan permintaan dan keperluan pelanggan.

"Saya yakin Pusat 3S Honda baharu ini boleh menyediakan perkhidmatan selepas jualan dipertingkatkan kepada pelanggan kami di Kuching dan seterusnya memartabatkan kepuasan pelanggan," katanya.

Berusaha menyediakan persekitaran selesa untuk pelanggan, Northmont Capital turut menawarkan pelbagai kemudahan, yang terdiri daripada lounge yang selesa, Wi-Fi percuma, dan sudut kanak-kanak.

Selain itu, pengedar itu juga menawarkan pembaharuan cukai jalan dan insurans, perkhidmatan cuci kereta, perkhidmatan menyaman dingin kenderaan, dan perkhidmatan penjajaran dan pengimbangan tayar.



Source: Hmetro.com.my

Prev. Article Next Article