2022-11-24

Sime Darby Plantation untung RM396 juta

Sime Darby Plantation untung RM396 juta



KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd (SDP) merosot hampir 35 peratus kepada RM396 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM609 juta pada suku tahun sama pada tahun lalu, menerima impak daripada keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berulang yang rendah daripada segmen huluan.

Bagaimanapun, perolehan meningkat tujuh peratus kepada RM5.39 bilion daripada RM5.06 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Katanya, walaupun purata harga minyak sawit mentah (MSM) direalisasikan lebih tinggi sebanyak 13 peratus, PBIT berulang untuk perniagaan huluan merosot kepada RM249 juta atau susut 73 peratus daripada PBIT suku ketiga tahun kewangan 2021 sebanyak RM912 juta.

Ini berikutan penurunan lapan peratus untuk pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan kadar pengekstrakan minyak (OER) yang rendah, jatuh daripada 21.59 peratus kepada 20.88 peratus.

"Tambahan pula, penurunan mendadak harga pasaran pada suku tahun semasa membawa kepada penurunan penilaian ke atas inventori minyak dan aset biologinya.

"Kerugian yang ditanggung oleh operasi di Malaysia sebahagian besarnya didorong oleh kekurangan buruh yang teruk, memberi impak kepada aktiviti penuaian, menyebabkan penurunan yang ketara dalam pengeluaran BTS dan OER," katanya.

Menurut SDP, PBIT daripada sektor hiliran meningkat kepada RM337 juta pada suku tahun semasa, sebahagian besarnya berikutan margin lebih tinggi yang dijana oleh operasi pukal Asia Pasifik dan operasi yang berbeza, mengurangkan margin yang rendah dicatatkan oleh kilang penapisan di Eropah dan penurunan jumlah jualan di semua kawasan.

Operasi lain melaporkan keuntungan yang lebih tinggi berikutan sumbangan yang tinggi daripada unit agribio dan penyelidikan kumpulan.

Sementara itu, keuntungan daripada urus niaga tidak berulang pada suku tahun semasa terutamanya yang terdiri daripada keuntungan daripada penyelesaian yang diraih selepas penjualan anak syarikat di Liberia pada tahun sebelumnya.

"Kumpulan menjangka pengeluaran BTS secara keseluruhannya lebih rendah daripada tahun sebelumnya berikutan aliran masuk pekerja asing yang perlahan ke Malaysia.

"Bagaimanapun, SDP optimis untuk pengeluaran pada 2023 berikutan lebih ramai pekerja asing dijangka tiba dan usaha berterusan untuk pendigitalan, mekanisasi dan mengautomasikan operasi dijangka meningkatkan produktiviti, terutamanya di Malaysia," menurut syarikat perladangan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha dalam kenyataan berkata, kemasukan lebih ramai pekerja asing ke Malaysia kini semakin cepat.

"Dalam pada kami mengurangkan keperluan pekerja manual dalam semua aktiviti bukan penuaian kami, kami menyasarkan untuk mencapai nisbah kepadatan penduduk untuk sesuatu wilayah sebanyak 17.5 hektar untuk setiap pekerja pada akhir 2024, yang akan menjadi peningkatan yang besar berbanding purata industri semasa sebanyak 8 hektar bagi setiap pekerja.

"Dengan automasi dan pendigitalan, kami menyasarkan untuk menjadikan kerja di ladang sebagai kurang sukar dan lebih canggih untuk menarik generasi baharu tenaga kerja tempatan yang mahir," katanya.

Harga MSM kini stabil berikutan peningkatan bekalan di negara-negara pengeluar yang memenuhi permintaan global yang meningkat selepas ia mencapai paras tertinggi pada separuh pertama 2022.

Harga MSM dijangka kekal menarik berbanding minyak sayuran alternatif, yang akan terus menyokong permintaan.



Source: Bharian.com.my

Prev. Article Next Article